KEMPEN KESEDARAN AWAM MENGENAI GEMPA BUMI DAN BENCANA TSUNAMI
PERINGKAT SEMENANJUNG MALAYSIA 21 JULAI – 13 OGOS 2008
|
Kempen Kesedaran Awam Mengenai Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Peringkat Semenanjung Malaysia Tahun 2008 akan dilancarkan pada 21 Julai 2008 di Kompleks Kebudayaan dan Kesenian, Taman Budaya, Kangar, Perlis. Majlis Pelancaran akan disempurnakan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Dr Mohd Isa Sabu, Menteri Besar Perlis. Majlis tersebut akan turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato’ Abdul Hanan Alang Endut, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Muhammad Hatta bin Ab. Aziz, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Dr Yap Kok Seng, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Pegawai-pegawai Kanan JMM dan peserta-peserta daripada pelbagai agensi. Selepas Perlis, Kempen Kesedaran tersebut akan bergerak ke beberapa lokasi di Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Matlamat utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kefahaman, pengetahuan dan persediaan masyarakat umum mengenai bencana tsunami terutamanya kepada yang menduduki kawasan pesisiran pantai. Kempen ini juga dapat mendedahkan masyarakat umum mengenai Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM), fungsinya dan juga lokasi-lokasi siren. Agensi-agensi lain juga akan menerangkan peranan dan tindakan mereka semasa dan selepas bencana tsunami berlaku. |