Bagaimana Jabatan Meteorologi Malaysia memonitor La-Nina ?
Apakah garis badai?

PEMONITORAN LA-NINA

  • Memang telah diketahui bahawa perubahan tekanan udara atmosfera boleh dikaitkan dengan penyejukan yang berlaku di bahagian tengah dan timur kawasan tropika Pasifik. Para saintis telah menggunakan tekanan udara permukaan yang diukur di Darwin dan Tahiti untuk menghasilkan "indeks" yang dinamakan Indek Ayunan Selatan (SOI). Apabila SOI menunjukkan nilai positif yang ketara sekurang-kurangnya selama 6 bulan berturut-turut, kita mengalami keadaan La-Nina.

     
  • Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) memonitor pembentukan dan evolusi La-Nina dengan memerhatikan dengan teliti SOI dan menggunakan maklumat-maklumat lain daripada pusat-pusat kajiklim di seluruh dunia. JMM juga melakukan analisa-analisa keatas data-data meteorologi, samada yang terdahulu atau pun yang terkini, yang diperolehi daripada rangkaian pencerapannya. Ini membolehkan JMM memberikan nasihat-nasihat kepada orang awam berhubung dengan kesan-kesan La-Nina termasuk perubahan-perubahan cuaca yang berlaku di Malaysia dan laut sekitarnya.

GARIS BADAI

Garis badai ialah istilah yang digunakan bagi menjelaskan tentang garisan ribut petir yang bergerak. Panjangnya boleh mencapai seratus kilometer dan mempunyai tempoh hayat beberapa jam yang di anggap lebih lama daripada komponennya ribut petir. Garis badai menghasilkan langkisau dan hujan lebat yang dahsyat serta meluas berbanding dengan ribut petir individu.

Garis badai kerap dilihat semasa monsun barat daya di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan kawasan pantai Malaysia Timur menghadap Laut China Selatan.

Di Semenanjung Malaysia, garis badai merujuk kepada "Sumatras" yang terbentuk di sepanjang Selat Melaka pada waktu malam dan menjelang subuh. Ia cenderung bergerak ke arah timur ketika pagi dan menjejaskan negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.

Garis badai di Malaysia Timur juga mempamirkan ciri-ciri yang sama, iaitu terbentuk di luar pesisir pantai pada sebelah malam sebelum melanda ke daratan pada waktu pagi.

Apakah yang terjadi apabila badai datang?

Anda dapat mencerap ciri pembentukan awan, iaitu jalur tebal awan kumulonimbus yang naik meninggi dan datangnya dari laut

Kelajuan angin meningkat secara mendadak menjadi langkisau semasa garis badai datang menghampiri.

Suhu menurun dengan tiba-tiba.

Laluan garis badai kerap disertai dengan guruh, kilat dan hujan lebat.

Apabila sampai di daratan, haba pendam pemeluwapannya hilang dan garis badai melesap dengan cepat.

Keamatan curahan hujan mengurang dan keadaan kembali normal kira-kira sejam kemudian.