kemudahan meteorologi

Untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan cekap dan berkesan, Pejabat Kajicuaca di KLIA dilengkapi dengan perkakasan-perkakasan meteorologi berikut:-

Sistem Pencerapan Cuaca Automatik (AWOS) yang dipasang di sepanjang 2 landasan di KLIA. Sistem AWOS ini membekalkan maklumat masa sebenar jarak ketampakan di landasan, angin, suhu, tekanan dan juga ketinggian tapak awan kepada Pengawal Trafik Udara (ATC). Maklumat ini sangat berguna dan penting untuk keselamatan kapalterbang semasa mendarat dan berlepas.
Sistem Cuaca Automatik (AWS) yang terletak di Stesen Kajicuaca di KLIA yang berhampiran dengan dua landasan di KLIA. Sistem AWS ini membekalkan maklumat-maklumat masa sebenar angin, presipitasi(hujan), suhu, takat embun dan tekanan udara kepada pencerap-pencerap cuaca untuk kegunaan laporan cuaca rutin (setiap setengah jam) dan juga laporan-laporan pencerapan cuaca khas.
Radar Cuaca Doppler Terminal (TDR) yang dipasang di Bukit Tampoi, iaitu kira-kira 10 km ke utara KLIA. Sistem TDR ini adalah untuk mengesan dan memberikan amaran "shear" angin dan "microburst" yang berlaku di sekitar KLIA. Sistem perisiannya telah dipasang untuk menghasilkan dan memaparkan produk-produk TDR.
Sistem Penerima Satelit Meteorologi Geopegun (GMS) untuk menerima imej-imej awan dari satelit yang dipancarkan daripada satelit GMS Jepun yang terletak di garisbujur 140° Timur di atas Khatulistiwa.
Sistem Sebaran Satelit (SADIS) yang terdiri daripada peralatan "Very Small Aperture Terminal (VSAT)" untuk menerima produk-produk dari Pusat Sistem Ramalan Kawasan Dunia (WAFS) di London. Pusat ini adalah salah satu daripada dua pusat yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan dan mengedarkan data binari bergrid global (GRIB), carta-carta cuaca ketara Difax, data-data angin dan suhu serta data-data cuaca dalam bentuk teks seperti laporan-laporan cuaca lapangan terbang setiap setengah jam dan ramalan-ramalan untuk lapangan terbang.
Sistem perisian Pemprosesan Data Meteorologi (MDPS) untuk pengambilan, pemprosesan, analisis dan integrasi semua data-data dan produk-produk daripada sistem-sistem tersebut di atas, data dan maklumat daripada Sistem Telekomunikasi Global (GTS)Rangkaian Telekomunikasi Tetap Penerbangan (AFTN) dan Rangkaian Radar Cuaca milik Perkhidmatan Kajicuaca Malaysia yang diterima dari Ibu Pejabat Perkhidmatan Kajicuaca Malaysia di Petaling Jaya serta Rangkaian Pengesanan Petir/Kilat Tenaga Nasional Berhad (NDLN) untuk menghasilkan dan memaparkan produk-produk dan maklumat meteorologi. Sistem perisian ini juga menyebarkan produk dan maklumat meteorologi melalui Sistem Pengurusan Lapangan Terbang Menyeluruh (TAMS) kepada pengguna-pengguna.
Terminal Taklimat Penerbangan (ABT) termasuk mesin-mesin pencetak disediakan di beberapa tempat tertentu di KLIA di mana pilot, operator-operator lapangan terbang dan syarikat-syarikat penerbangan boleh mendapatkan pelbagai maklumat dan produk meteorologi yang relevan dengan operasi-operasi mereka melalui TAMS.