|

|
jerebu
Penunjuk Kebersihan Atmosfera Kita
|
Apakah Jerebu?
Jerebu yang kelihatan di latar langit bandar kita disebabkan oleh
zarah terampai di dalam atmosfera. Pada kepekatan yang tinggi, zarahan
ini terserak dan menyerap cahaya matahari menyebabkan ketampakan
mengufuk mengurang menjadikan atmosfera kelihatan pendar baiduri. Jerebu
tidak hanya terbatas di kawasan alam sekitar bandar tetapi dicerap juga
di luar bandar.
Zarah Jerebu - Asal Kejadiannya
|
Zarah yang menyebabkan fenomena jerebu berasal daripada
pelbagai sumber, antaranya ialah semulajadi dan antropogen.
Sumber semula jadi termasuklah lautan, hutan dan permukaan bumi.
Walau bagaimanapun kebanyakan zarahan adalah daripada aktiviti
manusia seperti pembakaran secara terbuka, pembukaan tanah,
pengunaan kenderaan bermotor dan pembakaran bahan api di dalam
dandang industri.
|
Pembakaran Terbuka
|

Asap Kenderaan
|
Keadaan di Malaysia yang Membantu Pembentukan
Jelebu
Di tropika, laju angin biasanya perlahan. Bagi tempoh tertentu
terutamanya semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera sangat stabil
dan pergerakan udara mengufuk dan menegak berkurang. Dalam keadaan ini,
pembentukan awan tidak aktif menyebabkan cuaca kering. Beberapa faktor
seperti tempoh cuaca kering yang panjang, atmosfera yang stabil dan
sumber pencemaran yang banyak di bandar atau luar bandar merupakan
ramuan unggul pembentukan jerebu. Zarahan yang dibebaskan terperangkap
di dalam atmosfera jisim udara bergenang dan meningkatkan kepekatannya.
Di Semenanjung Malaysia, jerebu biasanya berlaku dari bulan Januari ke
Februari dan Jun ke Ogos.
Sebaliknya, semasa Monsun Timur Laut, angin lengas timur laut yang
umumnya bertiup kuat dari Laut China Selatan sering menurunkan
kelengasannya di daratan sebagai hujan menyeluruh, oleh itu jerebu
jarang kelihatan.
Apakah yang Menyebabkan Jerebu Hilang?
Atmosfera kita berubah-ubah, demikian juga halnya terdapat hari yang
berjerebu dan hari cerah. Apakah yang berlaku ? Zarahan di atmosfera
disingkirkan melalui beberapa proses. Zarah yang lebih berat mendap ke
bumi melalui pengendapan graviti.
Proses basuhan hujan melibatkan pemeluwapan wap ke atas zarah kumin
bagi membentuk titis air yang akhirnya menghasilkan awan. Zarahan juga
disingkirkan melalui perlanggaran dan perlekatan dengan turunnya titis
hujan melalui proses yang disebut cucian.
Golakan juga memainkan peranan membawa zarahan jerebu ke paras
atmosfera tinggi untuk sebaran yang lebih berkesan. Dalam kes ini, hujan
lebat / ribut petir yang menyeluruh dengan arus menaik dan menurun yang
kuat boleh menyingkirkan jerebu dengan berkesan. Hujan renyai yang
singkat biasanya tidak berkesan dalam menghilangkan jerebu teruk.
[
Seterusnya ]
|