|

|
jerebu
Petunjuk Kebersihan Atmosfera Kita
|
Jerebu, Kabus atau Kabut?
Jerebu sering disalah anggap dengan kabus atau kabut. Pada awal pagi
atau selepas turunnya hujan apabila suhu rendah dan kelembapan tinggi,
kabus dan kadangkala kabut terbentuk di kawasan lembah dan tanah rendah.
Ianya akan hilang perlahan-lahan setelah matahari naik. Kabus dan kabut
terbentuk hasil daripada pemeluwapan wap air ke atas zarah terampai di
atmosfera. Dalam kajicuaca, kabus wujud jika ketampakan menjadi kurang (tanpa
cuaca lain) dan kelembapan bandingan atmosfera di permukaan bumi
melebihi 95%. Bila ketampakan mengufuk mengurang di bawah 1000 meter,
fenomena dikelaskan sebagai kabut.
Adakah Jerebu Merbahaya?
Jerebu yang berasal daripada sumber semula jadi seperti garam laut
dan debu tanah adalah tidak memudaratkan manusia. Jerebu nipis dan
sementara yang wujud di kebanyakan bandar tidak memberi kesan serius
pada kesihatan jangka panjang penduduk. Namun, episod jerebu yang teruk
boleh membahayakan kesihatan. Kejadian terdahulu melaporkan peningkatan
kejadian iritasi mata dan kerongkong serta kesukaran bernafas kepada
mereka yang sensitif. Semasa episod jerebu, orang awam digesa supaya
mengikut arahan / nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan.
Bagaimana Kita Boleh Kurangkan Kejadian Jerebu?
Pertama, hindari daripada membakar bahan buangan secara terbuka.
Kebanyakan kejadian jerebu setempat disebabkan oleh aktiviti ini.
Peningkatan kenderaan bermotor juga merupakan sumber utama zarahan
jerebu di bandar. Untuk mengurangkan jerebu, kenderaan perlulah
diselenggara dengan baik disamping memilih bahan api yang rendah bahan
cemarnya. Pembukaan tanah secara meluas bukan sahaja menyebabkan hakisan
dan penurunan gred tanah, malah merupakan juga sumber zarah terampai di
atmosfera. Promosi ke arah penanaman semula pokok dan mengurangkan
pembukaan tanah boleh mengurangkan jerebu. Perlu diingat bahawa setiap
individu mempunyai peranan untuk mengekalkan kualiti alam sekitar
sebagai warisan generasi akan datang.
Apakah Peranan Kerajaan?
|
Dua agensi pusat yang terlibat secara terus dengan hal-hal
berkaitan jerebu ialah Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan
Meteorologi Malaysia (JMM). JMM memonitor keadaan
atmosfera berhubung dengan cuaca disamping beberapa parameter
yang berkaitan dengan kualiti udara ambien. Salah satu parameter
yang diukur ialah kepekatan jumlah zarah terampai yang berkaitan
secara langsung dengan keamatan jerebu. Parameter cuaca lain
seperti ketampakan mengufuk, kelembapan bandingan dan halaju
angin merupakan petunjuk penting dalam memahami fenomena jerebu
dan meramal kejadian dan kehilangannya. Aktiviti pemonitoran dan
penyelidikan yang dijalankan oleh JMM merupakan sebahagian
daripada usaha negara dalam mengawal dan mengurangkan jerebu.
|

Pencerapan jumlah zarah terampai |
Kerjasama rapat dikalangan semua agensi kerajaan dan pihak berkuasa
tempatan yang berkaitan serta media massa amat diperlukan semasa episod
jerebu bagi memastikan semua data yang diperlukan dalam membuat
keputusan diperolehi dan sebarang nasihat dapat disebarkan dengan cepat
kepada orang awam. Diperingkat serantau, ASEAN telah memulakan Pelan
Kerjasama ASEAN Pengurusan Pencemaran Rentas Sempadan untuk menangani
isu-isu seperti jerebu rentas sempadan.
[ Kembali ]
|