|

|
MONSUN
Perubahan Angin
|
MonsUn
Cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun
iaitu Monsun Barat Daya dari akhir bulan Mei ke September, dan Monsun
Timur Laut dari bulan November ke Mac. Monsun Timur Laut membawa hujan
lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung
Malaysia dan barat Sarawak, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya
adalah lebih kering. Tempoh peralihan antara dua monsun ini dikenali
sebagai musim perantaraan monsun.
Apakah Monsun?
Perkataan "monsun" berasal daripada
perkataan Arab "muasim" yang bermaksud musim.
Pedagang-pedagang kuno yang berulang-alik melalui Lautan India dan Laut
Arab menggunakan perkataan ini bagi menjelaskan sistem angin yang silih
berganti yang bertiup mantap dari arah timur laut semasa musim sejuk di
hemisfera utara dan dari arah berlawanan iaitu angin barat daya semasa
musim panas di hemisfera utara.
Apakah yang Menyebabkan Monsun?
Monsun berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu di
antara daratan dan lautan hasil daripada pemanasan sinaran matahari.
Semasa musim sejuk, kawasan daratan benua menyejuk dengan lebih cepat
dan menyebabkan suhu yang amat rendah di Asia Tengah. Keadaan ini
menyebabkan tekanan atmosfera meningkat dan membentuk sistem tekanan
tinggi (antisiklon) yang sangat kuat di Siberia. Akibatnya, udara sejuk
bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat-laut dan seterusnya
bertukar menjadi angin timur-laut apabila tiba di perairan pantai China
sebelum menuju Asia Tenggara.
Dari masa ke semasa, ledakan keluar udara sejuk
yang kuat (luruan monsun) ini saling bertindak dengan sistem tekanan
rendah atau siklon yang terbentuk berhampiran Khatulistiwa, menghasilkan
angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan serta hujan lebat
di pantai timur Semenanjung Malaysia dan juga di pantai barat Sarawak.
Pada musim panas, pemanasan suria yang kuat
meningkatkan suhu di kawasan daratan Asia. Semasa udara panas mengembang
naik, kawasan tekanan rendah separa tetap terbentuk. Angin lengas
tenggara yang berasal dari selatan Lautan Hindi dan rantau
Indonesia-Australia bertukar menjadi angin barat-daya apabila melepasi
Khatulistiwa. Angin ini seterusnya bergerak merentasi Asia Tenggara
sebelum menumpu ke arah Indochina, China dan barat-laut Pasifik.
[ Seterusnya ]
|