Perubahan Hujan Bermusim di Sabah dan Sarawak

Perubahan hujan bermusim di Sabah dan Sarawak boleh dibahagikan kepada lima jenis utama:

(a) Kawasan pantai Sarawak dan timur laut Sabah mengalami regim corak hujan satu maksimum dan satu minimum. Kedua­dua kawasan mengalami hujan maksimum pada bulan yang sama iaitu Januari manakala hujan minimum pada bulan yang berbeza. Di kawasan pantai Sarawak, hujan minimum berlaku pada bulan Jun atau Julai manakala kawasan timur laut pantai Sabah hujan minimum berlaku pada bulan April. Di bawah regim ini, kebanyakan hujan diterima pada bulan-bulan monsun timur laut iaitu Disember hingga Mac. Sesungguhnya, lebih dari separuh dari hujan tahunan diterima di kawasan barat Sarawak.

(b) Kawasan pendalaman Sarawak pada amnya mengalami taburan hujan tahunan yang agak sekata. Walau pun begitu, agak kurang sedikit hujan diterima semasa tempoh Jun hingga Ogos sesuai dengan kejadian angin lazim barat daya. Perlu di nyatakan di sini bahawa hujan tahunan tertinggi di Malaysia berlaku di cerun bukit kawasan pendalaman Sarawak. Longgo kan menerima hujan tahunan purata melebihi 5000 mm.

(c) Kawasan barat laut pantai Sabah mengalami regim corak hujan dua maksima dan dua minima. Maksimum primer berlaku pada bulan Oktober dan maksimum skunder berlaku pada bulan Jun. Minimum primer berlaku pada bulan Februari manakala minimum skunder berlaku pada bulan Ogos. Walau pun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada dua bulan maksimum adalah kecil, namun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada minimum primer adalah jelas lebih rendah berbanding skunder minimum. Di sesetengah tempat, perbezaan mencapai setinggi empat kali ganda.

(d) Di kawasan tengah Sabah di mana keadaannya berbukit dan terlindung oleh banjaran gunung, hujan yang diterima adalah lebih rendah secara relatif berbanding dengan kawasan­kawasan lain serta taburannya agak sekata. Akan tetapi, dua maksima dan dua minima boleh diperhatikan. Pada amnya, dua minima berlaku pada bulan Februari dan Ogos manakala dua maksima berlaku pada bulan Mei dan Oktober.

(e) Kawasan selatan Sabah mengalami taburan hujan sekata. Jumlah hujan tahunan yang diterima boleh diperbandingkan dengan bahagian tengah Sabah. Februari hingga April adalah tempoh agak kering berbanding bulan-­bulan lain.

[ Kembali ] [Next]