Cahaya dan Sinaran Matahari

Sebagai sebuah negara yang dikelilingi laut dan terletak berhampiran khatulistiwa, Malaysia secara semulajadi menerima cahaya matahari yang banyak dan seterusnya sinaran matahari. Bagaimanapun adalah jarang terdapat dalam sepanjang hari tidak diliputi awan langsung walaupun ketika tempoh kemarau. Litupan awan dapat mengurangkan kandungan cahaya matahari dan seterusnya sinaran matahari. Secara purata, Malaysia menerima sebanyak 6 jam cahaya matahari sehari.

Walau bagaimana pun, terdapat perbezaan mengikut musim dan tempat jumlah cahaya matahari yang diterima. Secara purata, Alor Star dan Kota Bharu menerima lebih kurang 7 jam cahaya matahari sehari sementara kuching menerima hanya secara purata 3.7 jam sehari dalam bulan Januari. Sementara Alor Star secara purata menerima nilai maksima sebanyak 8.7 jam sehari pada bulan yang sama.

Sinaran matahari adalah berkaitan rapat dengan tempoh cahaya matahari. Perubahan bermusim dan bertempatnya adalah lebih kurang sama dengan cahaya matahari.

Sejatan

Di antara kesemua faktor­faktor yang mempengaruhi kadar sejatan, keadaan berawan dan suhuadalah merupakan dua faktor terpenting yang saling berkait. Hari yang berawan bermaknakurangnya cahaya matahari seterusnya kurang sinaran matahari menyebabkan suhu menjadi rendah. Ujian daripada data­data sejatan menunjukkan bahawa bulan­bulan berawan atau hujan mempunyai kadar sejatan yang rendah sementara bulan kering adalah bulan yang mempunyai kadar sejatan yang tinggi. Stesen Senai , salah satu dari stesen yang letaknya di tanah rendah mempunyai purata sejatan terendah dalam sehari iaitu 2.6mm dalam bulan November, sementara Kota Kinabalu pula mempunyai purata sejatan tertinggi iaitu 6.0mm sehari dalam bulan April.

Bagi kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di mana suhu udaranya adalah rendah, kadar sejatannya juga rendah. Sementara kawasan tanah rendah mempunyai purata sejatan tahunan 4mm hingga 5mm sehari, Cameron Highlands mempunyai kadar yang hanya lebih kurang 2.5mm sehari.