LAPORAN TAHUNAN KUALITI UDARA

1. Pengenalan

Sejumlah 22 stesen Rangkaian Pemonitoran Pencemaran Udara terletak di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Bermula dengan hanya 2 stesen pada 1976, rangkaian ini telah berkembang tahun demi tahun. Pada masa yang sama, sejajar dengan keperluan semasa, parameter-parameter telah ditambah di dalam program pemerhatian ini di stesen-stesen terpilih. Kebanyakan stesen-stesen ini terletak agak jauh dari kawasan bandar bagi memastikan hanya keadaan ambien sahaja di pantau. (Rajah 1)

Kebanyakan stesen-stesen ini didirikan di kawasan sama dengan stesen klimatologi supaya pemerhatian kedua-dua parameter meteorologi dan pencemaran udara boleh dibuat serentak dan berterusan. Dengan ini memastikan set data yang komprehensif mengandungi kedua-dua data kualiti udara dan meteorologi boleh didapati bagi tujuan penilaian sebarang episod pencemaran udara.

Bahagian Kajian Alam Sekitar bertanggungjawab menjalankan pemantauan dan menilai kualiti udara negara melalui rangkaian ini. Data dari rangkaian ini juga digunakan untuk mendokumentasikan arah aliran jangka-panjang dan memberi amaran awal jika berlaku bencana alam sekitar. 

Parameter-parameter yang diukurkan oleh Bahagian adalah:

Keasidan Air Hujan.

Aerosol.
Ozon Atmosfera.
Gas-gas Reaktif.

2. Keasidan Air Hujan

Pengukuran tetap dan bermetodologi komposisi kimia air hujan melalui rangkaian stesen dalam tempoh masa yang panjang memberi petunjuk kualiti udara termasuk arah aliran keasidan dalam negara serta mengenalpasti kawasan yang sedang menghadapi peningkatan amaun komponen basahan pemendapan berasid. Pengukuran tersebut akan menyumbang ke arah penentuan spesies keasidan bagi fluks pemendapan basah dan kering di tapak pengukuran yang mana akan menghala kepada pemahaman yang mendalam terhadapa isu-isu pengasidan atmosfera di rantau ini. 

Biasanya keasidan air hujan dilaporkan sebagai pH. pH adalah pengukuran kepekatan ion hydrogen dalam cecair dan mempunyai skala di antara 0 - 14. Air hujan dari tapak yang bersih dan terpencil sedikit berasid dengan pH yang berubah antara 5.2 ke 6.0 disebabkan kehadiran asid semulajadi yang terlarut; oleh itu hujan dikatakan berasid jika pH kurang dari 5.2. Memandangkan jumlah air hujan berubah-ubah, kesemua nilai pH adalah volume weighted. 

Perkhidmatan Kajicuaca Malaysia menggunakan sama ada Automatic Wet and Dry Fallout Collector atau Wet-Only Sampler untuk mengumpul air hujan di rangkaian ini. Sampel-sampel air hujan dikumpul dalam seminggu dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa kimia terhadap anion dan kation prinsipal. Sejenis biosid, thymol digunakan untuk mencegah penguraian biologi.

pH Tahunan

Rajah 2 menunjukkan peta pH air hujan bagi tahun 2001. Amnya, negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur menerima hujan dengan pH antara 4.8 dan 5.2 manakala bahagian-bahagian lain Semenanjung menerima hujan dengan pH antara 4.4 dan 4.8. Kawasan-kawasan yang mengalami tahap keasidan yang tinggi adalah di sekitar Lembah Klang dan selatan Johor. Secara kebetulan, ini adalah kawasan-kawasan pembangunan dan perindustrian yang pesat dengan kepadatan penduduk yang tinggi. 

Variasi pH Bulanan

Rajah 3 menunjukkan pH bulanan. Dari urutan peta-peta tersebut, didapati bahawa keasidan air hujan adalah tinggi semasa bulan April hingga September bagi Semenanjung Malaysia. Pada bulan-bulan ini, bahagian utara Semenanjung menerima air hujan dengan pH antara 4.8 - 5.2, bahagian tengah antara 4.4 - 4.8 sementara bahagian barat dan selatan menerima air hujan dengan pH kurang dari 4.4. Di Malaysia Timur pH air hujan pada amnya antara 4.8 - 5.6.

[ Seterusnya ]