LAPORAN TAHUNAN KUALITI UDARA 2004

1. Pengenalan

Sejumlah 22 stesen Rangkaian Pemonitoran Pencemaran Udara Jabatan Meteorologi Malaysia diletakkan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Bermula dengan hanya 2 stesen pada 1976, rangkaian ini telah berkembang tahun demi tahun. Pada masa yang sama, sejajar dengan keperluan semasa, parameter-parameter telah ditambah di dalam program pemerhatian ini di stesen-stesen terpilih. Kebanyakan stesen-stesen ini terletak agak jauh dari kawasan bandar bagi memastikan hanya keadaan ambien sahaja di pantau. (Rajah 1)

Kebanyakan stesen-stesen ini didirikan di kawasan sama dengan stesen klimatologi supaya pemerhatian kedua-dua parameter meteorologi dan pencemaran udara boleh dibuat serentak dan berterusan. Ini akan memastikan set data yang komprehensif yang mengandungi kedua-dua data kualiti udara dan meteorologi boleh didapati bagi tujuan mengukur tahap pencemaran udara.

Bahagian Kajian Alam Sekitar di bawah Jabatan Meteorologi Malaysia bertanggungjawab menjalankan pemonitoran dan pengukuran kualiti udara negara melalui rangkaian ini. Data dari rangkaian ini digunakan untuk mendokumentasikan tren-tren jangka panjang dan mengesan perubahan signifikan dalam kepekatan atmosfera bagi membekal amaran awal bencana alam sekitar.


Parameter-parameter yang diukurkan oleh Bahagian adalah:

Keasidan Air Hujan.

Aerosol.
Ozon Atmosfera.

2. Keasidan Air Hujan

Pengukuran komposisi kimia air hujan secara tetap dan bermetodologi melalui satu rangkaian stesen dalam tempoh masa yang panjang dapat memberi petunjuk terhadap kualiti udara dan tren pengasidan di negara ini serta dapat menentukan kawasan-kawasan yang sedang menghadapi peningkatan amaun komponen basah di dalam pemendapan berasid. Pengukuran-pengukuran ini akan membantu di dalam menentukan fluks pemendapan basah dan kering oleh sepsis-spesis berasid di kawasan-kawasan pemerhatian seterusnya dapat memberi kefahaman yang lebih mendalam terhadap isu-isu pengasidan atmosfera di rantau ini.

Keasidan air hujan biasanya dilaporkan sebagai pH. pH ialah pengukuran kepekatan ion hidrogen di dalam cecair dan mempunyai skala di antara 0 – 14. Air hujan dari tapak yang bersih dan terpencil sedikit berasid dengan pH yang berubah antara 5.2 ke 6.0 disebabkan kehadiran asid semulajadi yang terlarut; oleh itu hujan dikatakan berasid jika pH kurang dari 5.2. Memandangkan jumlah air hujan berubah-ubah, kesemua nilai purata pH adalah berat berisipadu (volume weighted).

Jabatan Meteorologi Malaysia menggunakan Automatic Wet and Dry Fallout Collector atau Wet-Only Sampler untuk mengumpul air hujan di rangkaian ini. Sampel-sampel air hujan dikumpul dalam tempoh seminggu dan di hantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis kimia terhadap anion dan kation prinsipal. Sejenis biosid, thymol digunakan untuk mencegah penguraian biologi di dalam sampel-sampel tersebut.
 

 pH Tahunan

Rajah 2 menunjukkan purata berat berisipadu pH 2004. Berdasarkan purata tahunan, pH air hujan yang dikumpul di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berada dalam julat normal antara 4.8 dan 5.2. Walaubagaimanapun, air hujan di negeri-negeri baratan dan selatan tidak termasuk kawasan Lembah Kelang dan Selatan Johor agak berasid dengan purata pH antara 4.4 dan 4.8. Manakala, pH air hujan bagi kawasan Lembah Kelang dan Selatan Johor terutamanya di Senai kurang dari 4.4. 

  Variasi pH Bulanan

Rajah 3 menunjukkan urutan peta-peta purata berat berisipadu pH bulanan. Kawasan Lembah Kelang yang tergolong paras pH rendah dari 4.4 tidak menunjukkan signifikan variasi bulanannya. Sebaliknya sebahagian besar dari Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menunjukkan variasi pH bulanannya. Amnya, paras pH rendah dan normal dikesan semasa bulan April hingga Oktober iaitu Monsun Barat Daya manakala paras pH tinggi dari bulan November hingga Mac yang mana sejajar dengan musim Monsun Timur Laut.

[ Seterusnya ]