Fine Fuel Moisture Code

Nota Huraian Bagi Peta Sebaran Fine Fuel Moisture Code (FFMC)

Nilai FFMC yang ditunjukkan pada peta adalah kadar numerikal bagi kandungan kelembapan litter dan juga bahan bakar halus yang lain. FFMC menunjukkan hubungan relatif kemudahan mula menyala dan kemudahan terbakar bahan bakar halus. Oleh sebab itu, FFMC digunakan sebagai pengukur keupayaan menyala atau keupayaan bila kebakaran bermula dan tersebar di sesuatu kawasan. 
(Bahan Bakar Halus : Slash fuels, padang rumput, lalang, belukar dsb) 

Parameter-parameter meteorologi ( suhu, kelembapan bandingan, hujan, kelajuan angin) yang digunakan adalah yang diukur di stesen-stesen kajicuaca utama di seluruh Malaysia. Analisa Spasial dibuat dengan menggunakan Perisian ArcView.  

Bagi menginterpretasikan peta ini, sila rujuk kepada jadual  di bawah :

Kelas - Keupayaan Menyala Interpretasi
Rendah 

Kebarangkalian untuk berlaku kebakaran adalah rendah.

Sederhana 

Kebarangkalian untuk berlaku kebakaran di kawasan yang mempunyai kekeringan setempat, adalah sederhana. 

Tinggi    

Bahan bakar halus seperti rumput mudah menyala. Kebarangkalian untuk berlaku kebakaran adalah tinggi.

Melampau 

Bahan bakar halus seperti rumput sangat mudah menyala. Kebarangkalian untuk berlaku kebakaran adalah sangat tinggi.

Rendah = 0 - 72    Sederhana = 73 - 77    Tinggi = 78 - 82    Melampau > 83

 

Duff Moisture Code

Nota Huraian Bagi Peta Sebaran Duff Moisture Code (DMC)

Nilai DMC yang ditunjukkan pada peta adalah kadar numerikal purata kandungan kelembapan bagi lapisan organik permukaan yang tidak padat. Kod ini menunjukkan penggunaan bahan bakar organik di lapisan permukaan yang mempunyai ketumpatan yang rendah dan bahan berkayu yang bersaiz sederhana.

Bagi menginterpretasikan peta ini, sila rujuk kepada jadual di bawah :

Kelas Interpretasi
Rendah 

Lapisan atas tanah organik adalah basah.

Sederhana 

Lapisan atas tanah organik adalah lembap.

Tinggi     

Lapisan atas tanah organik bertambah kering.

Melampau 

Lapisan atas tanah organik adalah kering.

Rendah = 0 - 4    Sederhana = 5 - 14    Tinggi = 15 - 29    Melampau > 29

 

Drought Code

Nota Huraian Bagi Peta Sebaran Drought Code (DC)

Nilai DC yang ditunjukkan pada peta adalah nilai penunjuk bagi kandungan kelembapan lapisan bahan organik yang padat dan dalam. Tanah gambut adalah antara contoh tanah organik yang padat dan dalam. DC digunakan sebagai penunjuk kepada keupayaan api untuk membara di tanah gambut yang mana ianya adalah penyebab utama kepada udara yang berasap dan berjerebu di Asia Tenggara. Ia juga boleh digunakan sebagai penunjuk kepada kepayahan untuk memadamkan kebakaran yang dalam di tanah gambut dan juga sebagai penunjuk amaran awal kepada keadaan jerebu yang serius.   

Bagi menginterpretasikan peta ini, sila rujuk kepada jadual  di bawah :

Kelas - Keupayaan Berasap Interpretasi
Rendah 

Musim lembab yang biasa dan tiada kemungkinan untuk berlaku jerebu yang teruk. Memerlukan lebih daripada 30 hari yang kering bagi nilai DC mencapai nilai ambang di mana berkemungkinan besar jerebu yang teruk akan berlaku.

Sederhana 

Musim sederhana kering yang normal. Memerlukan di antara 15 hingga 30 hari yang kering, bagi nilai DC mencapai nilai ambang. Pembakaran hendaklah dikawal selia sebagaimana biasa.  

Tinggi    

Keadaan kemuncak musim kering yang normal. Memerlukan di antara 5 hingga 15 hari yang kering bagi nilai DC mencapai nilai ambang. Semua pembakaran di tanah gambut perlulah dihadkan. Ramalan cuaca dan penilaian hujan bermusim perlu dipantau dengan teliti bagi tanda-tanda musim kering yang berpanjangan. 

Melampau 

Menghampiri musim kemarau peringkat bahaya. Memerlukan kurang daripada 5 hari yang kering bagi mencapai nilai ambang di mana jerebu yang teruk berkemungkinan besar akan berlaku. Larangan kepada sebarang pembakaran perlulah dikuatkuasakan.

Rendah < 140    Sederhana = 140 - 260    Tinggi = 261 - 350    Melampau > 350

[ Seterusnya ]