Perubahan Iklim dan Kesan Rumah Hijau

Perubahan iklim merujuk kepada perubahan signifikan statistik dalam purata keadaan iklim ataupun kepelbagaiannya, untuk jangkamasa yang panjang (biasanya dekad atau lebih). Perubahan iklim berlaku mungkin kerana proses semulajadi dalaman bumi, pendorong luaran, ataupun perubahan antropogenik terus menerus dalam komposisi atmosfera dan penggunaan tanah. Perubahan Iklim ditakrif sebagai: "perubahan iklim yang disebabkan secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti manusia yang mengubah komposisi atmosfera global dan merupakan tambahan terhadap kepelbagaian iklim semulajadi untuk tempoh masa yang dapat dibandingkan".

Penemuan oleh dua orang saintis lebih dari 100 tahun yang lalu menunjukkan bahawa karbon dioksida meningkat di atmosfera memanaskan keseluruhan planet. Saintis berkenaan ialah penyelidik Perancis, Jean Baptiste Fourier dan saintis Sweeden Svante Arrhenius. Penemuan mereka kemudiannya dikenali sebagai kesan rumah hijau yang merangkumi faktor semulajadi dan kegiatan manusia yang menyumbang kepada penambahan karbon dioksida dalam udara.

Tanpa gas-gas dari kesan rumah hijau ,termasuk karbon dioksida, metana, nitrus oksida, dan wap air, bumi akan terlalu sejuk untuk didiami. Gas-gas ini yang terdapat di atmosfera bumi menyerap dan membebaskan tenaga haba, menghasilkan kesan rumah hijau yang membuatkan suhu planet kita sesuai untuk didiami. Wap air adalah gas rumah hijau yang paling banyak terdapat di planet ini, merangkumi sekitar 60% dari keseluruhan gas-gas yang ada. Bahkan ozon membantu menapis sejumlah haba yang membantu kehidupan di bumi.

Sejak revolusi industri, manusia telah membakar sejumlah besar arang batu, petroleum, dan bahan bakar fosil lain untuk menghasilkan haba dan elektrik. Aktiviti ini membebaskan karbon dioksida, gas rumah hijau yang paling banyak dihasilkan manusia, ke atmosfera. Akibat daripada ini, lebih banyak haba yang sepatutnya terbebas ke angkasa terperangkap dalam atmosfera.