Ringkasan Hujan Bulanan Terkini

APRIL 2017

Pengenalan

Negara kini sedang mengalami cuaca peralihan monsun yang dijangka akan berterusan sehingga pertengahan May 2017. Pada tempoh ini, keadaan atmosfera adalah tidak stabil dan kelajuan angin adalah lemah serta dari pelbagai arah. Keadaan ini boleh meningkatkan aktiviti perolakan. Kebiasaannya, hujan sementara dan ribut petir pada sebelah petang boleh berlaku di kebanyakan negeri di sebelah Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, Pantai Barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak. Pada bulan April ini, kebanyakan kawasan telah mencatatkan jumlah hujan yang normal dan melebihi normal. Jumlah sinaran suria dan kadar sejatan yang direkodkan adalah lebih rendah berbanding nilai normal walaupun suhu lebih tinggi.

 

Hujan

Bagi tempoh April ini, kebanyakan kawasan telah merekodkan jumlah hujan yang normal dan melebihi normal dari julat 50mm sehingga 500mm. Berdasarkan kepada skim klasifikasi nilai-nilai desil dan peratusan sisihan bulanan, 8 stesen telah merekodkan pada nilai purata, 5 stesen mencatatkan melebihi purata, 8 stesen merekodkan  sangat melebihi purata, 4 stesen kurang daripada purata dan 3 stesen merekodkan sangat kurang daripada purata.

Jumlah hujan tertinggi dan terendah yang telah direkodkan pada bulan ini masing-masing adalah Cameron Highlands (516.0 mm) dan Kuala Terengganu (32.2 mm). Manakala Sibu dan Keningau telah merekodkan hujan harian tertinggi bagi rekod bulan April dengan jumlah 154.6mm dan 97.4mm. Sebagai tambahan, Cameron Highlands telah mencatatkan jumlah hari hujan tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan 29 hari dan jumlah hari hujan terendah adalah Gong Kedak iaitu hanya 7 hari hujan. Di Sabah dan Sarawak, hari hujan tertinggi yang direkodkan di Sarawak dan Sabah adalah di Kapit sebanyak 25 hari manakala hari hujan terendah telah direkodkan di Kota Kinabalu dengan 10 hari hujan.

Hujan yang turun adalah sekata sepanjang bulan ini kecuali bagi sebahagian kawasan di timur Semenanjung yang telah mencatatkan hari hujan pada minggu pertama sahaja. Hujan juga tertumpu di tengah barat Semenanjung dan Barat Sarawak.


 

Hujan Bulanan