Nasihat dan amaran cuaca buruk di darat dan laut

MetMalaysia mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca supaya orang awam berjaga-jaga atau waspada mengenai kemungkinan berlakunya cuaca buruk. Nasihat dan amaran cuaca buruk tersebut merangkumi darat dan lautan yang bersempadanan dengan Malaysia.

Amaran cuaca buruk di darat

1) Amaran Ribut Petir

   Amaran ini dikeluarkan apabila dijangka ribut petir berlaku dalam tempoh sekurang-kurangnya satu jam lagi dan amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

2) Amaran hujan lebat

    Amaran ini dikeluarkan apabila hujan lebat boleh berlaku/sedang berlaku di satu-satu kawasan atau negeri.

    Peringkat amaran hujan lebat terbahagi kepada tiga iaitu:

    (i) Kuning

         Amaran peringkat Kuning dikeluarkan apabila hujan lebat dijangka akan berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari akan datang;

    (ii) Jingga

          Amaran peringkat Jingga dikeluarkan apabila hujan yang kadangkala menjadi sederhana lebat mulai turun dan dijangka berterusan; dan

   (iii) Merah

          Amaran peringkat Merah dikeluarkan apabila hujan yang sederhana lebat telah bertukar kepada hujan lebat yang berterusan dan dijangka berlaku untuk satu tempoh yang panjang.

Amaran cuaca buruk di laut

MetMalaysia bertanggungjawab untuk memantau keadaan cuaca di kawasan perairan Negara dan mengeluarkan Amaran Cuaca Buruk di kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia dalam jarak 200 batu nautika (370 Kilometer) dari pantai dan juga kawasan perkapalan seperti dalam rajah-rajah di bawah.

Kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia

Kawasan Perkapalan

1)  Amaran Ribut Petir
   Amaran ini dikeluarkan apabila satu ribut petir kuat dijangka berlaku di kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia
 
2) Nasihat/Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora
  Nasihat dan amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan untuk kawasan perkapalan dan perairan Malaysia. Nasihat angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan sekurang-kurangnya TIGA hari sebelum kejadian manakala amaran angin kencang dan laut bergelora akan dikeluarkan dalam tempoh DUA hari sebelum kejadian. Nasihat dan amaran ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori Pertama, Kedua dan Ketiga berdasarkan kelajuan angin dan ketinggian ombak seperti di dalam jadual di bawah.
   
3) Amaran Ketampakan Rendah
  Amaran ini dikeluarkan semasa jerebu melanda perairan Zon Ekonomi Eksklusif negara dan jarak ketampakan mendatar kurang dari 5 km.
   
4) Nasihat/Amaran Air Pasang Besar (Perbani)
  Nasihat/Amaran Air Pasang Besar dikeluarkan apabila air pasang besar perbani berlaku secara serentak atau hampir serentak dengan perigee dan angin kencang/laut bergelora/luruan ribut.
   
5) Nasihat/Amaran Luruan Ribut (Storm Surge)
  Nasihat/Amaran Luruan Ribut akan dikeluarkan apabila kehadiran ribut tropika/taufan dijangka boleh menghasilkan kejadian ombak yang tinggi di kawasan pantai negara kita.

Amaran Siklon Tropika

a) Kawasan yang terlibat

    MetMalaysia bertanggungjawab untuk memantau dan mengeluarkan nasihat/amaran ribut tropika/taufan dalam lingkungan latitud 0°– 20°U dan longitud 95° – 130°T.

b) Kategori

    Siklon tropika yang terbentuk di Lautan Pasifik Barat dikategorikan mengikut skala yang ditetapkan oleh Regional Specialized Meteorological Centre Tokyo, Jepun seperti Jadual di bawah:
 

c) Pengeluaran Nasihat/Amaran

    Nasihat mengenai siklon tropika dikeluarkan apabila sistem tersebut memasuki kawasan pemantauan MetMalaysia. Amaran siklon tropika dikeluarkan apabila sistem tersebut dijangka akan menghampiri dan memasuki kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif negara atau mendatangkan impak yang signifikan terhadap keadaan cuaca atau/dan laut di negara kita.