Buletin Meteorologi Pertanian 10 Hari

 

DEKAD PERTAMA JANUARI 2017

(1hb – 10hb Januari 2017)

RINGKASAN

Pada tempoh dekad pertama bulan Januari 2017, kebanyakan tempat di Malaysia telah menerima hujan pada paras 50.0 hingga 100.0 mm kecuali di pantai timur Semenanjung Malaysia di mana bacaan dari 250.0 hingga 350.0 mm telah direkodkan. Manakala, di pantai barat Semenanjung Malaysia pula telah merekodkan bacaan yang kurang dari 50.0 mm. Rekod hujan tertinggi dekad ini telah dicatatkan di Kuala Krai, Kelantan dengan jumlah hujan sebanyak 370.0 mm beserta rekod 8 hari hujan. 

Kadar sejatan harian yang direkodkan di kebanyakan tempat di Malaysia adalah dari 3.0 hingga 4.0 mm kecuali di Pahang dan di barat Sarawak di mana bacaan yang direkodkan adalah kurang dari 3.0 mm. Manakala satu dua tempat di Perak, Selangor, Johor dan Terengganu pula merekodkan bacaan yang melebihi 4.5 mm.

Sinaran solar harian di sepanjang dekad ini menunjukkan kebanyakan tempat di Malaysia mencatatkan bacaan dari 14.0 hingga 18.0 MJm-2 . Satu dua tempat di pantai timur Semenanjung Malaysia dan timur Sabah pula merekodkan bacaan yang kurang dari 12.0 MJm-2 manakala satu dua tempat di Selangor mencatatkan bacaan yang melebihi 20.0 MJm-2 .

Merujuk kepada suhu, kebanyakan kawasan tanah rendah di Malaysia menerima purata suhu harian di antara 22.2 hingga 29.3 ºC. Suhu yang tertinggi untuk tempoh ini adalah 35.5 ºC yang dicatatkan di MARDI Kuala Kangsar, Perak manakala suhu yang terendah adalah 15.4 ºC yang dicatatkan di Ladang Air Hitam, Negeri Sembilan.