Pilot Projek FDRS Tanah Gambut

 

PROJEK PRINTIS PENAMBAHBAIKAN FIRE DANGER RATING SYSTEM (FDRS) DI NEGERI SELANGOR SUPAYA MENGURANGKAN KEBAKARAN TANAH GAMBUT DI MALAYSIA

LATAR BELAKANG

Secara umumnya FDRS ialah satu bentuk pengurusan kebakaran. Ianya satu kaedah yang digunapakai untuk mengukur kemampuan atau potensi (kebarangkalian) bagi api untuk bermula, merebak dan kemusnahan yang boleh ia lakukan. Disamping itu, ianya boleh diaplikasikan di dalam bentuk ramalan. Objektif utama FDRS adalah untuk menyediakan satu bentuk amaran awal terhadap potensi kebakaran hutan yang besar yang boleh menyebabkan kejadian jerebu di Asia Tenggara samada yang berpunca dari kawasan setempat atau rentas sempandan. Amaran awal yang dijana dari FDRS dapat membantu pihak pengurusan di dalam mengimplementasikan operasi-operasi untuk mengurangkan kebakaran sebelum ianya menjadi lebih kritikal.

FDRS yang digunapakai di Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) adalah satu sistem yang diadaptasi dari sistem dari Canada Forestry Service (CFS) yang diimplementasikan melalui kerjasama dengan Canadian Intenational Development Agency (CIDA) selepas kebakaran hutan dan jerebu yang amat serius yang melanda ASEAN pada tahun 1997. Produk-produk dari FDRS ini telah mula diperolehi dan dipamirkan di dalam laman web rasmi Jabatan pada tahun 2003. Di samping mengeluarkan produk-produk FDRS untuk Malaysia, JMM juga telah dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan produk-produk FDRS bagi Negara-Negara ASEAN.

Semasa Mesyuarat ke-6, The Conference Of The Parties To ASEAN Agreement On Transboundary Haze Pollution dan 12th ASEAN Ministerial Meeting On The Environment yang telah diadakan pada 13 Oktober 2010 di Bandar Seri Begawan, Mesyuarat telah menyokong pembangunan FDRS sebagai satu alat untuk memantau, mencegah dan mengatasi kebakaran hutan. Malaysia telah diamanahkan untuk menyediakan satu pelan tindakan untuk memperbaiki FDRS yang sedia ada di Malaysia dan aktiviti ini akan dimasukan ke dalam program kerja perjanjian jerebu ASEAN.

Pada Mesyuarat 11th Meeting of the Sub-Regional Ministerial Steering Committee (MSC) on Transboundary Haze Pollution, 16-17 Februari 2011, Malaysia diminta meneruskan usaha memperbaiki FDRS yang sedia ada dengan projek printis dalam mengenalpasti tanah gambut di negeri Selangor dan kemudiannya dipanjangkan kepada seluruh negara Malaysia dan dapat berkongsi pengalaman dengan negara-negara ASEAN lain.

JMM bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Global Environment Center (GEC) telah bersama-sama menyediakan pelan tindakan tersebut. GEC ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang telah dilantik oleh Sekreteriat ASEAN untuk menjalankan kajian di dalam pembangunan The ASEAN Peatland Fire Prediction dan Warning System.

 

PENAMBAHBAIKAN FDRS

Bagi merealisasikan komitmen tersebut, di Negeri Selangor telah dipilih sebagai tapak Projek Perintis bagi menambahbaik FDRS sebelumnya diperluaskan keseluruh Malaysia seterusnya ASEAN. Fokus utama di dalam Projek Perintis ini adalah dalam mengenalpasti tanah gambut di negeri Selangor, memperbanyak dan mempelbagaikan input-input meteorologi bagi kawasan tersebut agar produk-produk yang dihasilkan akan menjadi lebih baik.

Bagi memperbanyakan input-input meteorologi di kawasan tersebut, JMM telah mendapat kerjasama dari JPS untuk membekalkan data-data hujan dari stesen-stesen JPS yang berhampiran. Sementara itu Pihak JAS telah menyumbang sejumlah peruntukan kepada JMM untuk membeli alat Stesen Meteorologi Automatik (AWS) untuk ditempatkan di situ bagi mencerap parameter-parameter cuaca. Di samping parameter-parameter cuaca, JMM juga menggunakan data-data dari satelit meteorologi dan radar meteorologi.

Peta FDRS Harian Bagi Kawasan Projek Perintis (Selangor)

a) Fine Fuel Moisture Code (FFMC)

b) Duff Moisture Code (DMC)

c) Drought Code (DC)

d) Initial Spread Index (ISI)

e) Fire Weather Index (FWI)

f) Build Up Index (BUI)