Laporan Pemantauan Kemarau

JANUARI 2017

Pendahuluan

Malaysia berada di dalam fasa kedua tempoh Monsun Timur Laut. Secara amnya, kebanyakan tempat mengalami keadaan cuaca yang lembap. Bulan Januari 2017 menunjukkan beberapa tempat di Semenanjung Malaysia telah mengalami anomali hujan melebihi paras purata.

Keadaan di timur kawasan tropika di Lautan Pasifik terus menunjukkan tanda-tanda La Nina lemah akan berakhir dan menjadi neutral tidak lama lagi. Kebanyakan model-model iklim antarabangsa menjangkakan perubahan kepada ENSO –neutral akan berlaku mulai Februari 2017 dengan kebarangkalian melebihi 85%.

 

Taburan Hujan Bulan Januari 2017

Secara klimatologi, keadaan cuaca pada bulan ini adalah lebih kering terutama di kawasan utara Semenanjung Malaysia. Namun begitu, Januari 2017 menunjukkan kebanyakan kawasan di Malaysia mengalami cuaca lebih lembap terutama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kota Bharu, Kuala Krai, Gong Kedak, Kuala Terengganu, Ipoh, Batu Embun, Muadzam Shah, Kuantan, Kuching, Kapit, Sibu, Kudat dan Sandakan telah merekodkan hujan terkumpul dari 400mm hingga ke 1300mm. Gong Kedak telah memecahkan rekod bulanan dan harian tertinggi iaitu sebanyak 1346.4mm dan 416.8mm.

Pulau Langkawi (150.2mm), Chuping (228.6mm), Kuala Krai (916.2mm), Gong Kedak (1346.4mm), Kuala Terengganu (410.2mm), Cameron Highlands (292.2mm), Batu Embun (531.4mm), Muadzam Shah (738.6mm), Temerloh (386.6mm) dan Sibu (733.6mm) juga masing-masing telah memecahkan rekod bulanan tertinggi Januari sebelum ini. Selain itu, hujan harian tertinggi mengatasi rekod lepas bulan Januari juga telah direkodkan di Pulau Langkawi (52.8mm), Bayan Lepas (102.6mm), Kuala Krai (156.8mm), Gong Kedak (416.8mm), Batu Embun (131.4mm) dan Temerloh (122.2mm).  Manakala jumlah hujan terendah sebanyak 58.0mm telah dicatatkan di Kota Kinabalu. 

 

 

Anomali Jumlah Hujan Terkumpul 3 Bulan (November 2016 hingga Januari 2017)

Secara keseluruhannya, bagi tempoh 3 bulan yang lepas, mulai November 2016 sehingga Januari 2017 taburan hujan di kawasan Semenanjung Malaysia menunjukkan peratusan anomali jumlah hujan pada paras purata.

Bagi tempoh yang sama, negeri-negeri di Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak telah mencatatkan peratusan anomali hujan 20-40% lebih dari purata. Manakala daerah Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Machang di Kelantan, daerah Besut dan Setiu di Terengganu dan daerah Jerantut di Pahang telah mencatatkan peratusan anomali hujan 40-60% lebih dari purata. Sementara itu, keadaan cuaca berbeza dialami di daerah Mersing, Kluang dan Batu Pahat di Johor yang telah mencatatkan peratusan anomali jumlah hujan 20-40% di bawah paras purata.  Kawasan yang lain merekodkan peratusan anomali jumlah hujan pada paras purata.

 

Sementara itu di Sarawak, bagi tempoh 3 bulan tersebut, taburan hujan di kebanyakan bahagian mencatatkan peratusan anomali pada paras purata kecuali di Bahagian Sibu, Mukah dan Sarikei telah mengalami keadaan cuaca yang lebih lembap dengan mencatatkan peratusan anomali sebanyak 20-60% di atas paras purata. Sebahagian kecil Bahagian Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang merekodkan peratusan anomali sedikit kurang dari purata.

Di Sabah pula, untuk tempoh 3 bulan ini, Bahagian utara dan pantai timur telah menerima taburan hujan atas paras purata terutamanya di Bahagian Kudat yang mencatatkan peratusan anomali jumlah hujan 60% lebih dari normal. Sementara Bahagian Sandakan dan Tawau mencatatkan peratusan anomali 40-60% lebih dari purata. Manakala Bahagian Ranau dan Pedalaman mencatatkan peratusan anomali jumlah hujan 20% kurang dari purata.

 

 

Indeks SPI

Pada bulan Januari 2017 yang lalu, kebanyakan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia merekodkan indeks SPI yang sederhana lembap dan sangat lembap. Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, utara Perak dan utara Kedah telah merekodkan indeks SPI yang terlalu lembap. Hanya beberapa kawasan di negeri Selangor, barat Negeri Sembilan dan Johor telah merekodkan indeks SPI pada paras normal. Pada bulan Januari 2017, rekod SPI di kawasan Petaling Jaya, Prai dan Sitiawan dikecualikan disebabkan terdapat masalah rekod data pada tarikh tertentu.

Di negeri Sarawak menunjukkan bacaan indeks SPI yang normal di kesemua bahagian kecuali Sibu yang merekodkan indeks SPI yang sangat lembap.

Sabah menunjukkan bacaan indeks SPI yang normal di kesemua bahagian kecuali Kudat dan Pitas merekodkan indeks SPI yang terlalu lembap manakala bahagian Kota Marudu dan Tawau telah merekodkan indeks SPI yang sederhana lembap.

 

Jadual dan peta SPI bagi 2 hingga 6 bulan terkini boleh dilihat melalui pautan di bawah:

Jadual Indek SPI

(mengikut bandar)

Peta SPI

i. 2 Bulan  ii. 3 Bulan  iii. 4 Bulan  iv. 5 Bulan  v. 6 bulan

Ramalan Jangka Sederhana

Tinjauan cuaca untuk tempoh 3 bulan ini melibatkan dua fasa monsun, iaitu Monsun Timur Laut (Feb–Mac 2017) dan Monsun Peralihan (Apr 2017). Dalam tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut, keadaan cuaca dijangkakan lebih lembap dengan curahan hujan yang lebih tinggi di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia.

Sehubungan dengan itu, keadaan cuaca di Semenanjung pada bulan Februari 2017 dijangkakan menerima taburan hujan 20% lebih tinggi berbanding purata jangka panjang terutamanya di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Hulu Perak dan Utara Kelantan.  Manakala negeri-negeri lain dijangka akan menerima taburan hujan pada paras purata. Pada bulan Mac 2017 pula, negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian; Larut, Matang & Selama; Kuala Kangsar; Kinta; Manjung; Kampar; Perak

Tengah; Batang Padang; Hilir Perak dan Mualim), Pahang (Raub; Bentong), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Segamat; Sekijang; Labis; Ledang; Pagoh; Bakri; Parit Sulong; Muar; Sri Gading; Batu Pahat; Pontian; Tanjung Piai) dijangkakan menerima taburan hujan 20% lebih tinggi berbanding purata jangka panjangnya. Manakala negeri-negeri lain dijangka akan menerima taburan hujan pada paras purata. Bagi bulan April 2017, Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima jumlah hujan pada paras purata.

Bagi negeri Sarawak, taburan hujan bulan Februari 2017 dijangkakan sedikit kurang daripada purata di Bahagian Kuching, Samarahan, Sarikei, Bentong dan Sri Aman. Manakala di Bahagian-bahagian lain, jumlah hujannya dijangkakan adalah pada paras purata. Bagi bulan Mac hingga April 2017 pula, keadaan cuaca dan taburan hujan dijangkakan pada paras purata bagi keseluruhan Negeri Sarawak.

Jangkaan jumlah hujan di negeri Sabah pada Februari 2017, adalah pada paras purata kecuali di kawasan sekitar Kudat, Beluran dan Sandakan dijangkakan mengalami peningkatan sebanyak 20 %daripada purata jangka panjang. Pada bulan Mac 2017 pula, kawasan di sekitar Bahagian Kudat, Pantai Barat dan Pendalaman yang dijangkakan menerima jumlah hujan sedikit melebihi purata,  manakala kawasan-kawasan lain pada paras purata. Bagi bulan April 2017, negeri Sabah dijangka menerima jumlah hujan pada paras purata.

 

                                                

Skala Kod Kemarau (mengikut kaedah FDRS)

Nilai kod kemarau (DC) adalah nilai penunjuk bagi kandungan kelembapan lapisan bahan organik yang padat dan dalam. Tanah gambut adalah antara contoh tanah organik yang padat dan dalam. DC digunakan sebagai penunjuk kepada keupayaan api untuk membara di tanah gambut yang mana ianya adalah penyebab utama kepada udara yang berasap dan berjerebu di Asia Tenggara. Ia juga boleh digunakan sebagai penunjuk kepada kepayahan untuk memadamkan kebakaran yang dalam di tanah gambut dan juga sebagai penunjuk amaran awal kepada keadaan jerebu yang serius.

Skala yang digunakan untuk mengkategorikan DC adalah seperti berikut:

 

Dikemaskini pada 17 Februari 2017