Seismik di Malaysia

Apa itu Gempa Bumi?

Gempa bumi adalah pergerakan mengejut permukaaan bumi disebabkan oleh pergerakan batuan di sepanjang garis sesar atau di atas persempadanan plat tektonik. Walau bagaimanapun, gempa bumi juga boleh disebabkan oleh aktiviti gunung berapi. Semakin besar saiz gempa bumi, semakin besar kemusnahan yang dibawa

Keseismikan di Malaysia dan Serantau

Malaysia terletak berhampiran dengan dua sempadan pertembungan kepingan yang aktif keseismikannya iaitu sempadan pertembungan di antara Kepingan Indo-Australian dan Kepingan Eurasian di sebelah barat dan sempadan pertembungan di antara Kepingan Eurasian dan Kepingan Laut Filipina di sebelah timur. Gegaran gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di sempadan pertembungan kepingan-kepingan tersebut dapat dirasai gegarannya di Malaysia. Gegaran gempa bumi yang dirasai di pantai barat Semenanjung Malaysia adalah berpunca dari gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di Sumatera dan Laut Andaman. Semenanjung Malaysia (seperti Bukit Tinggi, Jerantut, Temenggor dan Kuala Pilah) dan Malaysia Timur juga turut mengalami gempa bumi tempatan. Gempa bumi tempatan ini disebabkan wujudnya gelinciran atau garis sesar aktif di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Beberapa potensi garis sesar aktif yang telah dikenalpasti dilihat mempunyai hubungan dengan sesetengah kewujudan gempa-gempa bumi tempatan ini. Selain dari ancaman gempa bumi tempatan, Malaysia Timur juga turut terdedah kepada ancaman gegaran akibat gempa bumi yang berlaku di Filipina Selatan dan Sulawesi Utara.

Jenis-jenis Garis Sesar

Garis sesar merupakan rekahan atau zona rekahan pada bantuan atau permukaan bumi yang telah mengalami pergeseran akibat daripada pergerakan di antara dua blok yang mempunyai arah pergerakan yang berlainan. Sesar boleh dibahagikan kepada 3 kelompok utama iaitu Sesar Normal, Sesar Songsang dan Sesar Mendaftar.

i) Sesar Normal terjadi apabila hanging wall relatif bergerak ke bawah terhadap foot wall.
ii) Sesar Songsang terjadi apabila hanging wall relatif bergerak naik terhadap foot wall.
iii) Sesar Mendatar terjadi apabila pergerakan di antara dua blok pada arah yang berlainan secara mendatar.