Langkah Keselamatan Tsunami
 
  Tidak semua gempa bumi mengakibatkan tsunami, tetapi kebanyakannya adalah berpotensi menghasilkan gelombang tsunami. Apabila anda mengetahui gempa bumi telah berlaku, bersedialah untuk menerima amaran tsunami.
  Tsunami bukannya satu gelombang sahaja tetapi terdiri dari beberapa siri gelombang. Teruskan berada di kawasan yang selamat sehingga pihak-pihak bertanggungjawab mengumumkan keadaan telah benar-benar selamat.
  Kehadiran tsunami biasanya didahului dengan air laut yang surut dengan tiba-tiba. Ini adalah tanda-tanda semulajadi terhadap kehadiran tsunami dan perlu diambil perhatian oleh orang ramai.
  Gelombang tsunami yang kecil pada suatu kawasan pantai mungkin boleh menjadi sangat besar beberapa meter sahaja darinya. Jangan ambil mudah pada gelombang tsunami yang kelihatan kecil.
  Semua amaran tsunami yang dikeluarkan perlu diambil serius oleh orang ramai. Tsunami yang berlaku pada Mei 1960 di Hilo, Hawaii contohnya telah mengakibatkan kematian seramai 61 orang kerana orang ramai menganggap amaran yang dikeluarkan hanyalah satu kesilapan.
  Semua tsunami berpotensi untuk menjadi berbahaya walaupun mungkin tidak memusnahkan semua kawasan yang dilaluinya.
  Jangan sesekali pergi ke tepi pantai untuk melihat gelombang tsunami. Apabila gelombang tsunami dilihat, anda sudah terlalu dekat dengan gelombang tersebut dan sukar untuk menyelamatkan diri darinya.
  Berikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan, polis dan badan-badan kecemasan yang lain untuk menyelamatkan nyawa anda semasa berlaku keadaan cemas akibat tsunami.