Apa itu Tsunami

Apa itu Tsunami?

Tsunami adalah satu perkataan Jepun yang bermaksud ombak laut di perlabuhan. Tsunami merupakan suatu siri ombak besar yang mempunyai jarak gelombang dan jangka masa yang agak panjang. Biasanya terjadi secara impulsif disebabkan oleh gangguan pada dasar laut. Apabila berlaku perubahan dasar laut secara tiba-tiba atau dasar laut secara tiba-tiba terangkat selepas berlakunya sesuatu gempa bumi, menyebabkan berlakunya tsunami besar. Gempa bumi, tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan dan juga hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami. Tsunami boleh menganas di kawasan pantai dan seterusnya membawa kepada kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

 

Bagaimana gempa bumi boleh menghasilkan Tsunami?

Tsunami akan terhasil apabila dasar lautan dengan tiba-tiba berubah kedudukan yang akan menyebabkan air berkocak kuat. Gempa bumi tektonik adalah gempa bumi yang biasanya akan menyebabkan kecacatan atau perubahan pada kerak bumi; apabila gempa bumi terjadi di dasar lautan, air yang berada dikawasan kejadian akan berubah dari kedudukan keseimbangannya. Gelombang akan terhasil dari perubahan jisim air, yang bertindak dibawah pengaruh graviti yang cuba untuk mengembalikan keseimbangan kedudukannya. Apabila kawasan dasar laut yang berubah kedudukan (terangkat atau turun) adalah luas, tsunami akan terhasil. Gelombang yang terhasil dapat bergerak dengan pantas.

 

Berapakah Kelajuan Tsunami?

Kelajuan gelombang tsunami boleh mencapai kelajuan sebuah jet iaitu melebihi 800 km/j di laut dalam. Ia boleh menyeberangi Lautan Pasifik dalam masa kurang satu hari sahaja. Gelombang tsunami boleh menyebabkan kemusnahan yang dasyat apabila tiba di kawasan pantai.