Halaman: 1  2  
Jerebu
 

 

Apakah jerebu?

Jerebu yang kelihatan di latar langit bandar kita disebabkan oleh zarah terampai di dalam atmosfera. Pada kepekatan yang tinggi, zarah-zarah ini menyerak dan menyerap cahaya matahari menyebabkan ketampakan mendatar mengurang menjadikan atmosfera kelihatan seperti pendar baiduri. Jerebu bukan sahaja terbatas di kawasan-kawasan bandar tetapi ia juga boleh berlaku di kawasan-kawasan luar bandar.

Zarah jerebu - asal kejadiannya

Zarah yang menyebabkan fenomena jerebu berasal daripada pelbagai sumber, antaranya ialah semulajadi dan antropogen. Sumber semula jadi termasuklah lautan, hutan dan permukaan tanah. Walau bagaimanapun kebanyakan zarah-zarah adalah daripada aktiviti manusia seperti pembakaran secara terbuka, pembukaan tanah, pengunaan kenderaan bermotor dan pembakaran bahan api di dalam dandang industri.

Keadaan yang membantu pembentukan jerebu

Di tropika, kelajuan angin biasanya perlahan. Bagi tempoh tertentu terutamanya semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera sangat stabil dan pergerakan udara mengufuk dan menegak berkurang. Dalam keadaan ini, pembentukan awan tidak aktif menyebabkan cuaca menjadi kering. Beberapa faktor seperti tempoh cuaca kering yang panjang, atmosfera yang stabil dan sumber pencemaran yang banyak di bandar atau luar bandar merupakan ramuan unggul pembentukan jerebu. Zarah-zarah yang dibebaskan ke dalam atmosfera terperangkap didalam jisim udara bergenang dan meningkatkan kepekatannya menyebabkan keadaan berjerebu. Di Semenanjung Malaysia, jerebu biasanya berlaku dari bulan Januari ke Februari dan Jun ke Ogos.

Sebaliknya, semasa Monsun Timur laut  , angin lengas Timur laut   yang umumnya bertiup kuat dari Laut China Selatan sering menurunkan kelengasannya di daratan sebagai hujan menyeluruh, oleh itu jerebu jarang kelihatan.

Apakah yang menyebabkan jerebu berkurang?

Di dalam keadaan atmosfera yang berubah-ubah, demikian juga halnya terdapat hari yang berjerebu dan hari cerah. Apakah yang menyebabkan perubahan ini? Zarah-zarah di atmosfera disingkirkan melalui beberapa proses. Zarah yang lebih berat mendap ke bumi melalui pengendapan graviti.

Proses basuhan hujan melibatkan pemeluwapan wap ke atas zarah kumin bagi membentuk titis air yang akhirnya menghasilkan awan. Zarah-zarah juga disingkirkan melalui perlanggaran dan perlekatan dengan turunnya titisan hujan melalui proses yang disebut cucian.

Golakan juga memainkan peranan membawa zarah-zarah jerebu ke paras atmosfera tinggi untuk sebaran yang lebih berkesan. Dalam kes ini, hujan lebat / ribut petir yang menyeluruh dengan arus menaik dan menurun yang kuat boleh menyingkirkan jerebu dengan berkesan. Hujan renyai yang singkat biasanya tidak berkesan dalam menghilangkan jerebu teruk.

 

Halaman: 1  2