Halaman: 1  2  
Garis badai

Garis badai di Bandar Kota Kinabalu, Sabah

Pengesanan garis badai melalui radar cuaca

Garis badai ialah istilah yang digunakan bagi menjelaskan mengenai barisan ribut petir yang bergerak. Panjangnya boleh mencapai beratus kilometer dan mempunyai tempoh hayat selama beberapa jam yang dianggap lebih lama daripada komponennya ribut petir. Garis badai menghasilkan langkisau dan hujan lebat yang dahsyat serta meluas berbanding ribut petir individu.

Garis badai kerap dilihat semasa monsun Barat Daya di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan kawasan pantai Malaysia Timur yang menghadap Laut China Selatan.

Di Semenanjung Malaysia, garis badai merujuk kepada "Sumatras" yang terbentuk di sepanjang Selat Melaka pada waktu malam dan menjelang subuh. Ia cenderung untuk bergerak ke arah timur ketika waktu pagi dan menjejaskan negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.

Garis badai di Malaysia Timur juga mempunyai ciri-ciri yang sama, iaitu terbentuk di luar pesisir pantai pada sebelah malam dan menjelang subuh sebelum melanda ke daratan pada waktu pagi.

Apakah yang terjadi sekiranya garis badai datang?

Jika anda tinggal di kawasan pantai barat semenanjung Malaysia

  Anda dapat mencerap ciri pembentukan awan, iaitu jalur tebal awan kumulonimbus yang naik meninggi dan datangnya dari laut.
  Kelajuan angin meningkat secara mendadak menjadi langkisau semasa garis badai menghampiri.
  Suhu turun secara tiba-tiba.
  Laluan garis badai kerap disertai dengan guruh, kilat dan hujan lebat.
  Apabila ia sampai di daratan, haba pendam pemeluwapannya hilang dan ia juga melesap dengan cepat.
  Keamatan curahan hujan berkurangan dan keadaan kembali normal kira-kira sejam kemudian.

Bilakah garis badai kerap berlaku?

Garis badai selalunya berlaku semasa menjelang subuh dan awal pagi serta paling kerap berlaku antara bulan April hingga November. Namun, garis badai kadangkala boleh terbentuk pada waktu petang dan bergerak ke daratan seiring dengan angin lazim.

 
Halaman: 1  2