Halaman: 1  2  
Siklon Tropika

Siklon tropika adalah ribut ganas yang berputar dan berdiameter beberapa ratus kilometer yang terbentuk di kawasan perairan tropika. Apabila dilihat melalui satelit, ia kelihatan seperti satu sistem gegelung yang kuat dan ketat dengan kelompok awan yang melingkar ke luar. Bagi siklon tropika yang matang, wujudnya satu pusat kawasan udara secara relatifnya tenang dan hanya terdapat sedikit awan. Kawasan ini dikenali sebagai mata bagi siklon tropika tersebut

Keadaan yang diperlukan untuk ribut ini ialah kewujudan awal gangguan cuaca, laut tropika yang panas dan lembap serta angin yang lemah. Sekiranya keadaan yang sesuai ini wujud dalam satu tempoh masa yang cukup panjang, ia boleh bercantum dan menghasilkan angin dan ombak yang kuat, hujan lebat dan banjir 

Hurikan, siklon dan taufan adalah fenomena cuaca yang sama. Penggunaan nama yang berbeza merujuk kepada ribut-ribut di lautan-lautan yang berbeza. Di Lautan Atlantik dan Timur Laut Lautan Pasifik, ia dinamakan sebagai "hurikan". Jenis gangguan cuaca yang sama yang berlaku di Barat Laut Lautan Pasifik pula dinamakan sebagai "taufan" manakala nama "siklon" digunakan bagi gangguan cuaca yang berlaku di Selatan Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.

Siklon tropika atau siklon. Apakah perbezaannya?

Siklon tropika adalah satu istilah generik yang menghuraikan satu pusaran, sistem awan terancang dan ribut petir yang berasal dari perairan tropika atau sub-tropika dan mempunyai gegelung tertutup pada paras rendah. Apabila siklon tropika tersebut mencapai kelajuan maksimum iaitu 118 kmsj atau lebih secara berterusan, ia akan diklasifikasikan sebagai hurikan, taufan atau siklon berdasarkan tempat di mana ribut tersebut berasal.

Siklon tropika dikelaskan seperti berikut:-

  Lekukan Tropika - Satu sistem yang terdiri daripada awan dan ribut petir yang berputar dengan kelajuan angin maksimum berterusan iaitu 61 kmsj atau kurang.
  Ribut Tropika - Satu sistem ribut petir kuat yang berputar dengan kelajuan angin maksimum berterusan iaitu di antara 62 - 117 kmsj
  Taufan - Satu sistem cuaca tropika yang kuat dan jelas berputar dengan kelajuan angin maksimum berterusan iaitu 118 kmsj atau lebih.
 

Bagaimana siklon tropika terbentuk?

Siklon tropika terbentuk di kawasan lautan yang suhu permukaannya adalah 26 °C atau lebih. Di rantau Asia, siklon tropika selalunya dikenali sebagai taufan dan biasanya terjadi semasa musim panas di Hemisfera Utara di mana suhu di Lautan Pasifik adalah panas dan sesuai untuk aktiviti perolakan. Sistem tekanan rendah yang terbentuk di kawasan lautan tropika yang panas bergerak ke arah barat dan terbentuk daripada lekukan tropika kepada ribut tropika dan akhirnya menjadi taufan yang matang.

Siklon yang terbentuk mengumpulkan haba dan tenaga melalui hubungan dengan air laut yang panas. Haba dan kelembapan yang terhasil melalui penyejatan permukaan laut memberi tenaga kepadanya seperti enjin haba raksasa. Pembentukan kelompok-kelompok ribut petir membolehkan udara menjadi lebih panas dan naik lebih tinggi dalam atmosfera.

Pembentukan siklon tropika memerlukan keadaan persekitaran yang bersesuaian seperti berikut:

  Perairan laut yang hangat (sekurang-kurangnya 26.5 °C) dengan kedalaman sekurang-kurangnya 50 meter. Perairan yang panas diperlukan untuk menjadi pemangkin dalam pembentukan siklon tropika.
  Atmosfera yang menyejuk dengan cukup cepat dengan ketinggian membentuk keadaan tidak stabil yang menggalakkan perolakan udara lembap. Ini adalah proses ribut petir yang membolehkan haba yang tersimpan di perairan laut dibebaskan untuk perkembangan siklon tropika.
  Lapisan lembap berhampiran dengan lapisan pertengahan Troposfera (5 km). Lapisan pertengahan yang kering adalah tidak kondusif untuk membolehkan perkembangan aktiviti ribut petir secara meluas.
  Berkedudukan pada jarak minimum sekurang-kurangnya 500 km dari Khatulistiwa. Daya Coriolis diperlukan di dalam pembentukan sistem gangguan tekanan rendah dan menyokong perkembangan sistem tersebut.
  Satu gangguan berhampiran permukaan yang sedia ada terbentuk dengan pertembungan dan pusaran yang mencukupi. Siklon tropika tidak dapat dihasilkan secara spontan. Untuk ianya terbentuk memerlukan sedikit sistem lemah yang terancang dengan pusingan ke dalam yang mencukupi.
  Ricihan angin menegak yang rendah (kurang daripada 20 Knot) di antara permukaan dan atas Troposfera. Ricihan angin menegak adalah magnitud perubahan angin dengan ketinggian. Ricihan angin menegak yang besar mengganggu pertumbuhan siklon tropika yang baru terbentuk.

Mata taufan yang berdiameter antara 30 - 100 kilometer adalah merupakan pusat tekanan rendah tersebut. Aktiviti yang paling hebat (atau ganas) berlaku di kawasan sekitar mata yang juga dipanggil dinding mata. Di sini, udara berputar ke arah atas dan luar dengan kelajuan yang meningkat. Sebahagian daripada udara bergerak ke arah dalam dan tenggelam ke dalam mata, membentuk kawasan bebas awan.

Halaman: 1  2