Melompat ke Kandungan
1Akses
English
Besarkan saiz font Set semula saiz font Kurangkan saiz font

BULETIN CUACA BULANAN

JANUARI 2017

 

Pengenalan

Malaysia berada di dalam fasa kedua tempoh Monsun Timur Laut. Secara amnya, kebanyakan tempat mengalami keadaan cuaca yang lembap. Januari 2017 menunjukkan beberapa tempat di Semenanjung Malaysia mengalami anomali hujan melebihi paras purata. Jumlah sinaran suria dan kadar sejatan pula adalah lebih rendah berbanding nilai purata. Walau bagaimanapun, suhu permukaan yang direkodkan pada bulan ini adalah lebih tinggi daripada nilai purata.

 

Hujan

Secara klimatologi, keadaan cuaca pada bulan ini adalah lebih kering terutama di kawasan utara Semenanjung Malaysia. Namun begitu, Januari 2017 menunjukkan kebanyakan kawasan di Malaysia mengalami cuaca lebih lembap terutama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kota Bharu, Kuala Krai, Gong Kedak, Kuala Terengganu, Ipoh, Batu Embun, Muadzam Shah, Kuantan, Kuching, Kapit, Sibu, Kudat dan Sandakan telah merekodkan hujan terkumpul dari 400mm hingga ke 1300mm. Gong Kedak telah memecahkan rekod bulanan dan harian tertinggi iaitu sebanyak 1346.4mm dan 416.8mm.

Pulau Langkawi (150.2mm), Chuping (228.6mm), Kuala Krai (916.2mm), Gong Kedak (1346.4mm), Kuala Terengganu (410.2mm), Cameron Highlands (292.2mm), Batu Embun (531.4mm), Muadzam Shah (738.6mm), Temerloh (386.6mm) dan Sibu (733.6mm) juga masing-masing telah memecahkan rekod bulanan tertinggi Januari sebelum ini. Selain itu, hujan harian tertinggi mengatasi rekod lepas bulan Januari juga telah direkodkan di Pulau Langkawi (52.8mm), Bayan Lepas (102.6mm), Kuala Krai (156.8mm), Gong Kedak (416.8mm), Batu Embun (131.4mm) dan Temerloh (122.2mm).  Manakala jumlah hujan terendah sebanyak 58.0mm telah dicatatkan di Kota Kinabalu.

Kuala Terengganu telah merekodkan hari hujan tertinggi iaitu sebanyak 24 hari manakala Pulau Langkawi pula mencatatkan bilangan hari hujan terendah sebanyak 12 hari. Bagi Sabah and Sarawak, rekod hari hujan tertinggi dicatatkan di Sandakan sebanyak 26 hari. Manakala Labuan hanya menerima 10 hari hujan, iaitu bilangan hari hujan terendah bagi bulan Januari.

Skema klasifikasi nilai desil hujan dan peratusan sisihan daripada purata bulanan Januari 2017. 4 stesen didapati telah mencatatkan nilai pada paras purata, 3 stesen pada nilai melebihi purata, 20 stesen merekodkan sangat melebihi purata, 4 stesen merekodkan di bawah paras purata dan 3 stesen mencatatkan nilai sangat kurang daripada nilai purata.

 

Suhu

Kebanyakan stesen telah merekodkan suhu lebih tinggi daripada purata suhu kecuali di Pulau Langkawi, Butterworth, Chuping, dan Kudat. Di kawasan tanah rendah, Batu Embun, Mersing, Senai, dan Sri Aman telah merekodkan suhu maksimum tertinggi iaitu 35.3°C. Manakala suhu minimum terendah telah direkodkan di Ranau sebanyak 17.8°C. Satu-satunya stesen tanah tinggi iaitu di Cameron Highlands telah merekodkan suhu dari 14.4°C hingga 25.0°C.

 

Sinaran Suria

Di kawasan tanah rendah, purata harian sinaran suria adalah daripada 12.37 MJm-2 di Sandakan dan 21.32 MJm-2 di Tawau.  Purata sinaran suria yang telah direkodkan di Cameron Highlands pula adalah 12.94 MJm-2.  Sisihan positif tertinggi iaitu +2.21MJm-² telah direkodkan di Miri manakala sisihan negatif terendah -3.33MJm-² telah direkodkan di Bayan Lepas.

 

Sejatan

Purata harian bagi kadar sejatan di kawasan tanah rendah adalah dari 2.6 mm/hari di Sri Aman dan mencapai rekod sehingga 4.2 mm/hari di Pulau Langkawi.  Sisihan positif tertinggi sebanyak +0.8 mm/hari telah direkodkan di Sibu dan sisihan negatif terendah sebanyak -1.8 mm/hari telah direkodkan di Pulau Langkawi dan Alor Setar.  Manakala, kadar sejatan harian di Cameron Highlands adalah 1.5mm/hari dengan nilai sisihan -0.4mm/hari.

 

Rajah :

RAJAH 1   : Jumlah Hujan Bulanan

RAJAH 2a : Purata Suhu Bulanan

RAJAH 2b : Purata Suhu Maksima Bulanan

RAJAH 2c : Purata Suhu Minimum Bulanan