Melompat ke Kandungan
1Akses
English
Besarkan saiz font Set semula saiz font Kurangkan saiz font

BULETIN CUACA BULANAN

SEPTEMBER 2016

Pendahuluan

Malaysia berada di dalam penghujung tempoh Monsun Barat Daya sebelum memasuki tempoh inter-monsun. Secara amnya kebayakan kawasan akan mengalami hujan lebat dan ribut petir di sebelah petang.

Kawasan tropika timur Lautan Pasifik masih dalam keadaan ENSO-neutral. Kebanyakan model-model iklim antarabangsa menjangkakan keadaan neutral atau La Niña lemah akan berlaku sehingga awal tahun 2017. Bagaimanapun, pembentukan La Niña kini lebih perlahan dan kebarangkalian berlakunya keadaan La Niña lemah adalah sekitar  45% hingga 55% sahaja.

Hujan

Kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan jumlah di paras normal pada bulan ini. Walau bagaimanapun, kawasan di utara Semenanjung mencatatkan hujan melebihi paras normal dengan julat jumlah hujan dari 350 mm hingga 500 mm. Butterworth dan Prai memperbaharui rekod jumlah hujan bulanan tertinggi iaitu masing-masing mencatatkan 496.2 mm dan 455 mm. Hujan tertinggi dalam sehari direkodkan di stesen Chuping dengan jumlah 155.2 mm. Butterworth dan Cameron Highlands merekodkan bilangan hari hujan tertinggi iaitu sebanyak 23 hari. Temerloh pula menerima bilangan hujan terendah iaitu 12 hari.

Tempoh penerimaan hujan agak sekata dari awal bulan sehingga ke akhir bulan ini. Kawasan utara Semenanjung menerima lebih banyak hujan berbanding dengan kawasan lain.

Negeri Sabah dan Sarawak telah menerima jumlah hujan di paras normal antara 100 mm hingga 450 mm. Namun begitu, Kudat menerima jumlah hujan melebihi paras purata dan memperbaharui catatan jumlah hujan bulanan tertinggi iaitu sebanyak 396.7 mm. Kuching merekodkan jumlah hari hujan tertinggi  iaitu 25 hari, rekod bilangan hari hujan terendah dimiliki oleh Miri dengan catatan 9 hari.

Berdasarkan nilai densil dalam skema klasifikasi hujan, 20 stesen merekodkan nilai di paras purata, 8 stesen merekodkan nilai atas paras purata dan 3 stesen merekodkan nilai  melebihi paras purata. Hanya 7 stesen mencatatkan nilai bawah paras purata.

Suhu

Bulan September, kebanyakkan kawasan di Malaysia merekodkan suhu tinggi berbanding suhu purata. Namun begitu, Kapit menunjukkan rekod sedikit di bawah paras purata.

Bagi kawasan tanah rendah, bacaan suhu maksimum tertinggi dicatat di Muadzam Shah iaitu 36.9°C dan suhu minimum terendah dicatat di Temerloh iaitu 21.1°C. Manakala purata suhu maksimum tertinggi dicatat di stesen Temerloh iaitu 34.1°C dan purata suhu minimum terendah dicatat di Kuala Pilah iaitu 23.1°C. Bagi kawasan tanah tinggi, julat suhu yang direkodkan di Cameron Highlands adalah di antara 14.1°C dan 24.1°C.

Sabah dan Sarawak mencatatkan suhu berjulat antara 19.2°C yang direkod di Ranau sehingga 35.6°C yang direkod di Sibu. Purata suhu maksimum tertinggi direkod di Kuching iaitu sebanyak 33.3°C dan purata suhu minimum direkod di Ranau iaitu sebanyak 20.6°C.

Sinaran Suria

Di kawasan tanah rendah, julat purata sinaran suria harian adalah antara 16.72 MJm-2 dan 21.40 MJm-2 masing-masing dicatat di Senai dan Kota Bharu. Purata sinaran suria yang direkodkan di Cameron Highlands adalah 15.51 MJm-2. Sisihan terbesar dari normal ialah +3.71 MJm-2 direkodkan di Melaka manakala sisihan terkecil dari normal ialah +0.07 MJm-2 direkodkan di Muadzam Shah.

Di negeri Sabah dan Sarawak, julat purata sinaran suria harian adalah dari 8.46 MJm-2 dan 19.20 MJm-2 yang masing-masing direkod di Keningau dan Miri.

Sejatan

Rekod purata kadar sejatan harian bagi kawasan tanah rendah adalah dalam julat 3.3 mm/hari di Kluang dan 5.0 mm/hari di KLIA Sepang. Sisihan terbesar dari purata ialah +1.1 mm/hari direkodkan di Pulau Langkawi dan Chuping. Sementara itu, kadar sejatan harian direkodkan di Cameron Highlands ialah 2.5 mm/hari dengan sisihan dari purata sebanyak +0.7 mm/hari.

Negeri Sabah dan Sarawak, rekod purata kadar sejatan harian tertinggi direkod di Miri iaitu 4.9 mm/hari manakala rekod purata kadar sejatan harian terendah direkod di Sri Aman iaitu 3.0 mm/hari.

Rajah :

RAJAH 1   : Jumlah Hujan Bulanan

RAJAH 2a : Purata Suhu Bulanan

RAJAH 2b : Purata Suhu Maksima Bulanan

RAJAH 2c : Purata Suhu Minimum Bulanan