Melompat ke Kandungan
1Akses
English
Besarkan saiz font Set semula saiz font Kurangkan saiz font

BULETIN CUACA BULANAN

NOVEMBER 2016

 

PENDAHULUAN

Monsun Timur Laut telah bermula pada 10 November 2016 yang lalu dan dijangka berakhir pada bulan Mac 2017. Dalam tempoh ini, negara akan menerima tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan adakalanya bertiup kencang. Negara dijangka akan mengalami beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh yang boleh mengakibatkan kejadian banjir di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung dan Barat Sarawak. Walau bagaimanapun, negeri-negeri lain juga masih boleh menerima hujan monsun dan berkemungkinan berlaku banjir.

HUJAN

Di Semenanjung Malaysia, taburan hujan adalah sekata untuk sepanjang bulan ini dengan julat hari hujan yang direkodkan adalah antara 14 – 28 hari dengan bilangan hari hujan tertinggi dicatatkan di Kuala Terengganu sebanyak 28 hari. Dalam bulan November ini, rekod hujan tertinggi dicatatkan di Kuala Terengganu iaitu sebanyak 687.6 mm manakala hujan terendah direkodkan di Sitiawan iaitu sebanyak 143.6 mm. Ipoh mencatatkan rekod hujan harian yang baharu sebanyak 142.4 mm pada dekad ketiga bulan ini, berbanding 120.7 mm pada tahun 1958.

Taburan hujan di Sabah dan Sarawak juga adalah sekata untuk sepanjang bulan ini. Sibu  di Sarawak dan Labuan di Sabah masing-masing telah menerima jumlah hujan sebanyak 572.5 mm dan 538.8 mm, iaitu jumlah hujan yang tertinggi direkodkan di kedua-dua negeri tersebut. Sementara itu,  Kapit (Sarawak) dan Keningau (Sabah) mencatatkan jumlah hujan terendah iaitu sebanyak masing-masing 207.0 mm dan 98.6 mm. Bilangan hari hujan bagi kedua-dua negeri ini adalah antara 20 – 27 hari di Sarawak dan 16 – 25 hari di Sabah. Kuching (Sarawak) telah mencatatkan bilangan hari hujan tertinggi sebanyak 27 hari manakala Labuan (Sabah) telah mencatatkan bilangan hari hujan sebanyak 25 hari.

Berdasarkan skema klasifikasi nilai desil hujan dan peratusan sisihan daripada purata bulanan, didapati 3 stesen merekodkan jumlah hujan yang sangat melebihi purata, 4 buah stesen melebihi purata, 21 buah stesen menyamai purata, 9 stesen kurang daripada purata dan 1 stesen sangat kurang daripada purata.

SUHU

Kebanyakan Stesen Meteorologi Utama di seluruh Malaysia telah mencatatkan bacaan suhu yang lebih tinggi daripada paras purata. Julat purata suhu bulanan di kawasan tanah rendah adalah dari 24.8?C seperti yang direkodkan di Stesen Meteorologi Ranau hingga 27.9?C yang direkodkan di Stesen Meteorologi Pulau Langkawi. Purata suhu minimum pula adalah berjulat dari 21.4?C hingga 24.9?C dengan bacaan suhu minimum terendah adalah 19.7°C yang dicatatkan di Stesen Meteorologi Ranau. Manakala purata suhu maksimum berjulat dari 29.8?C hingga 33.0?C dengan suhu maksimum tertinggi dicatatkan di Stesen Meteorologi Kluang dengan bacaan 37.8?C. 

Stesen Meteorologi Cameron Highlands yang merupakan satu-satunya stesen pencerapan di kawasan tanah tinggi telah merekodkan bacaan suhu berjulat dari 16.3?C hingga 22.4?C dengan suhu purata 18.4?C.

SINARAN SURIA

Julat purata sinaran suria harian di kawasan tanah rendah ialah dari 9.42 MJm-2 yang direkodkan di Stesen Meteorologi Keningau hingga 18.84 MJm-2  yang direkodkan di Stesen Meteorologi Kapit. Sebanyak 12 stesen meteorologi telah merekodkan jumlah sinaran suria yang lebih tinggi berbanding normal. Purata sinaran suria yang direkodkan di Stesen Meteorologi Cameron Highlands adalah 11.35  MJm-2 .

SEJATAN

Purata kadar sejatan harian bagi kawasan tanah rendah adalah berjulat dari 2.6 mm/hari yang direkodkan di Stesen Meteorologi Bayan Lepas dan Kluang hingga 4.4 mm/hari yang telah direkodkan di Stesen Meteorologi Langkawi, Chuping, Labuan, Kota Kinabalu dan Sandakan. Sementara itu, Stesen Meteorologi Cameron Highlands  mencatatkan purata kadar sejatan harian sebanyak 1.3 mm/hari.

Rajah :

RAJAH 1   : Jumlah Hujan Bulanan

RAJAH 2a : Purata Suhu Bulanan

RAJAH 2b : Purata Suhu Maksima Bulanan

RAJAH 2c : Purata Suhu Minimum Bulanan