Melompat ke Kandungan
1Akses
English
Besarkan saiz font Set semula saiz font Kurangkan saiz font

 

BULETIN CUACA BULANAN

DISEMBER 2016

 

 

Pendahuluan

 

Malaysia masih berada dalam musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut yang kebiasaannya keadaan cuaca adalah lebih lembap terutamanya di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia. Pada bulan Disember 2016 ini, secara amnya hampir separuh kawasan mengalami jumlah curahan hujan yang melebihi jumlah purata jangka panjang. Beberapa siri episod hujan lebat, banjir kilat dan banjir monsoon berlaku, terutama di Kelantan dan Terengganu.  Ia dikaitkan dengan tiupan angin timuran yang konsisten dan agak kuat diselangi dengan kejadian ricih angin di mana ricih angin ini terhasil akibat perbezaan kelajuan angin yang menghasilkan penumpuan dalam pembentukan awan di kawasan tersebut.

 

Hujan

 Bagi Semenanjung Malaysia, taburan hujan adalah seragam untuk sepanjang bulan Disember 2016 dengan julat hari hujan yang direkodkan adalah antara 10 – 25 hari. Bilangan hari hujan tertinggi telah direkodkan di 4 kawasan iaitu Kota Bharu, Kuala Terengganu, Cameron Highlands dan Mersing iaitu sebanyak 25 hari. Rekod hujan tertinggi masih kekal dicatatkan oleh  Kuala Terengganu sama seperti bulan November 2016 (687.6mm) iaitu sebanyak 998.4mm,   di mana ia antara faktor berlakunya  kejadian banjir kilat di negeri – negeri pantai timur Semenanjung Malaysia pada penghujung bulan November dan Disember 2016.  Manakala rekod hujan terendah pula telah dicatatkan di Pulau Langkawi iaitu sebanyak 85.0 mm. Pada Disember 2016 ini juga, Cameron Highlands telah merekodkan hujan harian yang baharu sebanyak 100.6 mm berbanding 87.0 mm pada tahun 1994.

 

Di negeri Sarawak, Sibu menerima jumlah hujan tertinggi sepanjang bulan Disember 2016 iaitu sebanyak 418.6mm, manakala bagi negeri Sabah, Kudat mencatatkan jumlah hujan tertinggi sebanyak 623.2mm. Bagi jumlah hujan terendah pula, Miri, Sarawak dan Keningau, Sabah merekodkan bacaan sebanyak 126.0 mm dan 108.4 mm masing-masing.  Julat hari hujan di Sarawak adalah antara 19 – 23 hari, di mana Kuching dan Kapit merekodkan bacaan hari yang tertinggi. Di negeri Sabah, julat hari hujan adalah antara 15 – 26 hari, di mana Ranau telah merekodkan bilangan hari yang tertinggi.

 

 

Berdasarkan skema klasifikasi nilai desil hujan dan peratusan sisihan daripada purata bulanan Disember 2016 (Jadual 3), bagi keseluruhan Stesen Meteorologi Utama seluruh Malaysia didapati sebuah stesen merekodkan jumlah hujan sangat melebihi purata, 16 buah stesen melebihi purata dan 13 buah stesen menyamai purata. Terdapat 6 buah stesen lagi merekodkan jumlah hujan kurang daripada purata dan 2 buah stesen merekodkan jumlah hujan sangat kurang daripada purata.

 

Suhu 

 

Bagi bulan Disember 2016, kebanyakan stesen meteorologi utama mencatatkan bacaan suhu yang lebih tinggi daripada paras purata. Julat purata suhu bulanan di kawasan tanah rendah direkodkan antara 24.7°C (Ranau) hingga 27.9°C (Labuan). Bagi purata suhu minimum bulanan berjulat antara 21.5°C hingga 25.2°C dengan suhu minimum terendah dicatatkan di Ranau sebanyak 19.3°C. Manakala julat purata suhu maksimum bulanan pula antara 29.3°C hingga 33.1°C dengan suhu maksimum tertinggi direkodkan di Sri Aman sebanyak 35.8°C.

 

Pencerapan di kawasan tanah tinggi iaitu di Cameron Highland telah  merekodkan suhu dengan julat antara 15.8°C hingga 21.8°C dengan purata sebanyak 18.0°C.

 

Sinaran Suria

 

Rekod sinaran suria di kebanyakan stesen meteorologi utama sepanjang bulan Disember 2016 menunjukan jumlah sinaran suria yang lebih tinggi berbanding normal. Julat purata sinaran suria harian bagi kawasan tanah rendah ialah dari 7.61 MJm-² yang direkodkan di Keningau dan 22.53 MJm-² yang direkodkan di Tawau. Manakala purata sinaran suria di kawasan tanah tinggi seperti yang direkodkan di Cameron Highlands adalah 12.61 MJm-². Sisihan positif terbesar dari normal ialah +3.00 MJm-² yang direkodkan di Miri dan sisihan negatif terbesar dari normal adalah -1.51 MJm-² di Bayan Lepas.

 

Sejatan

 

Purata kadar sejatan harian bagi kawasan tanah rendah yang direkodkan di stesen-stesen meteorologi utama adalah berjulat dari 2.5 mm/hari di Kuala Krai dan Kota Bharu  hingga 4.3 mm/hari di Miri. Antara faktor utama yang mempengaruhi kadar sejatan ini adalah keadaan udara yang kering dan juga suhu permukaan, di mana suhu permukaan yang tinggi beserta keadaan udara kering akan menyebabkan kadar sejatan tinggi. Nilai sisihan positif terbesar dari normal iaitu 0.9 mm/hari telah direkodkan di Kuantan, manakala nilai sisihan negatif terbesar dari normal iaitu -1.0 mm/hari direkodkan di Kota Bharu. Sementara itu, purata kadar sejatan harian direkodkan di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands ialah 1.9 mm/hari.

Rajah :

RAJAH 1   : Jumlah Hujan Bulanan

RAJAH 2a : Purata Suhu Bulanan

RAJAH 2b : Purata Suhu Maksima Bulanan

RAJAH 2c : Purata Suhu Minimum Bulanan