Melompat ke Kandungan
1Akses
English
Besarkan saiz font Set semula saiz font Kurangkan saiz font

BULETIN CUACA BULANAN

MEI 2017

 

Pengenalan

Pada tahun ini, Monsun Barat Daya telah bermula pada 17 Mei 2017 dan dijangka akan berterusan sehingga September 2017. Monsun Barat Daya ini dicirikan dengan angin barat daya yang berkelajuan lemah dan keadaan atmosfera yang stabil. Dalam tempoh ini, negara akan mengalami keadaan pengurangan hujan di Semenanjung dan Sarawak dimana bilangan hari tanpa hujan akan melebihi hari hujan kecuali di Sabah yang akan menerima jumlah hujan yang lebih banyak berbanding negeri lain. Walaubagaimanapun, kejadian ribut petir masih boleh berlaku tetapi dengan kekerapan yang semakin berkurang.

 

Hujan

Sepanjang bulan Mei 2017, kebanyakan kawasan merekodkan jumlah hujan pada paras normal sehingga melebihi normal. Berdasarkan kepada skim klasifikasi nilai-nilai desil dan peratusan sisihan bulanan, 20 stesen telah merekodkan peratus sisihan pada nilai purata, 4 stesen mencatatkan peratus sisihan melebihi purata, 4 stesen sangat melebihi purata, 2 stesen kurang daripada purata dan 1 stesen sangat kurang daripada purata.

Jumlah hujan tertinggi di semenanjung telah direkodkan di Pulau Langkawi (396.4 mm) dan jumlah hujan terendah di Sitiawan (62.0 mm). Di Sabah, hujan tertinggi dan terendah masing-masing direkodkan di Ranau (395.2 mm) dan Tawau (60.6 mm). Manakala di Sarawak, hujan tertinggi adalah 342.2 mm di Kapit dan hujan terendah adalah 255.6 mm di Sibu.

Taburan hujan bagi seluruh negara adalah hampir seragam bagi sepanjang bulan Mei kecuali di kawasan pantai timur semenanjung yang mana taburan hujan lebih tertumpu pada minggu kedua dan ketiga bulan Mei. Bilangan hari hujan tertinggi di semenanjung adalah sebanyak 26 hari di Cameron Highland dan paling rendah adalah 11 hari di Kuala Terengganu. Hari hujan tertinggi yang direkodkan di Sabah adalah di Ranau sebanyak 28 hari manakala hari hujan terendah telah direkodkan di Tawau dengan 12 hari hujan. Bagi negeri Sarawak, bilangan hari hujan tertinggi adalah di Kapit (22 hari) dan terendah di Sri Aman sebanyak 20 hari.

 

Suhu

Keadaan suhu di seluruh negara masih lagi panas sejak bulan April yang lalu. Kebanyakan stesen merekodkan suhu yang lebih tinggi daripada purata kecuali Gong Kedak dan Keningau. Purata suhu bulanan di kawasan tanah rendah adalah berjulat dari 25.0°C yang direkodkan di Ranau hingga 28.7°C yang direkodkan di Bayan Lepas, Petaling Jaya dan Sandakan. Suhu maksimum tertinggi adalah 36.1°C telah direkodkan di Kuala Krai. Suhu minimum terendah telah dicatatkan di Ranau iaitu 20.5°C.  Satu-satunya stesen tanah tinggi, Cameron Highlands, telah mencatatkan suhu pada julat di antara 15.5°C dan 25.2°C.  

 

Sinaran Suria

Purata sinaran suria harian di kawasan tanah rendah adalah dari julat 13.59 MJm-²  direkodkan di Senai dan 22.91 MJm-² dicatatkan di Gong Kedak. Sisihan positif terbesar dari normal ialah +4.02 MJm-² telah direkodkan di Kuala Krai.

 

Sejatan

Purata kadar sejatan harian di kawasan tanah rendah adalah dari 3.1 mm/hari direkodkan di  Senai dan 4.9 mm/hari di Sandakan.  Sisihan positif terbesar daripada purata ialah +0.7 mm/hari telah direkodkan di Langkawi dan sisihan negatif terkecil adalah -0.6 mm/hari telah direkodkan di Alor Setar. Sementara itu, kadar sejatan harian direkodkan di Cameron Highlands ialah 2.0mm /hari dengan sisihan dari purata sebanyak 0.0mm/hari.

 

Rajah :

RAJAH 1   : Jumlah Hujan Bulanan

RAJAH 2a : Purata Suhu Bulanan

RAJAH 2b : Purata Suhu Maksima Bulanan

RAJAH 2c : Purata Suhu Minimum Bulanan