Melompat ke Kandungan
1Akses
English
Besarkan saiz font Set semula saiz font Kurangkan saiz font

BULETIN CUACA BULANAN

JUN 2017

 

PENDAHULUAN

Negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang telah bermula pada 17 Mei 2017 dan dijangka berterusan sehingga bulan September 2017. Ianya dicirikan dengan angin permukaan bertiup secara tetap dari arah barat daya di mana keadaan cuaca secara relatifnya adalah lebih kering berbanding musim-musim lain.

Namun begitu, dari taburan hujan pada bulan Jun 2017 menunjukkan hujan lebih tertumpu di kawasan pendalaman di Malaysia. Melalui rekod-rekod bacaan suhu, jumlah sinaran suria dan kadar sejatan di Stesen-stesen Meteorologi Utama telah mencatatkan bacaan yang lebih tinggi berbanding dengan bacaan purata.

 

HUJAN

Sepanjang bulan Jun 2017, terdapat beberapa kawasan yang telah merekodkan jumlah hujan dibawah paras purata dan melebihi purata. Berdasarkan kepada skim klasifikasi nilai-nilai desil dan peratusan sisihan bulanan, 16 stesen telah merekodkan peratus sisihan pada nilai purata, 7 stesen mencatatkan peratus sisihan melebihi purata, 3 stesen sangat melebihi purata, 5 stesen kurang daripada purata dan 3 stesen sangat kurang daripada purata.

Jumlah hujan tertinggi di Semenanjung telah direkodkan di Kuala Pilah (301.6 mm) dan jumlah hujan terendah adalah di Butterworth (57.2 mm). Di Sabah, hujan tertinggi dan terendah masing-masing direkodkan di Sandakan (436.6 mm) dan Kota Kinabalu (104.8 mm). Manakala di Sarawak pula, hujan tertinggi direkodkan di Limbang (307.2 mm) dan hujan terendah direkodkan di Sri Aman (121.4 mm).

Bilangan hari hujan tertinggi di Semenanjung adalah sebanyak 21 hari di Cameron Highlands dan terendah sebanyak 9 hari di Butterworth dan Sitiawan. Di Sabah, bilangan hari hujan tertinggi direkodkan di Ranau sebanyak 25 hari dan terendah sebanyak 14 hari di Kudat. Di Sarawak pula, bilangan hari hujan tertinggi direkodkan di 3 bahagian iaitu di Kuching, Bintulu dan Limbang sebanyak 18 hari dan terendah di rekodkan di Sri Aman sebanyak 14 hari.

 

SUHU

Negara masih mencatatkan suhu lebih tinggi berbanding suhu purata bulan Jun 2017. Suhu tertinggi  telah direkodkan di kawasan tanah rendah iaitu di Stesen Meteorologi Muadzam Shah iaitu 36.1°C manakala suhu terendah iaitu 20.5°C yang telah direkodkan di Stesen Meteorologi Keningau. Bagi kawasan tanah tinggi pula, julat suhu adalah diantara 14.8°C  dan 25.2°C dengan suhu purata 18.9°C seperti yang dicatatkan di Stesen Meteorologi Cameron Highlands.

 

SINARAN SURIA

Julat purata sinaran suria harian bagi kawasan tanah rendah ialah dari 7.58MJm-²  yang direkodkan di Stesen Meteorologi Kudat dan  25.14 MJm-²  yang direkodkan di Stesen Meteorologi Subang. Sisihan positif terbesar dari normal ialah +8.63 MJm-² yang direkodkan di Stesen Meteorologi Subang.

 

SEJATAN

Purata kadar sejatan harian bagi kawasan tanah rendah adalah berjulat dari 3.14 mm/hari di Stesen Meteorologi Batu Pahat hingga 4.91 mm/hari di Stesen Meteorologi KLIA Sepang. Antara faktor utama yang mempengaruhi kadar sejatan ini adalah keadaan udara yang kering dan juga suhu permukaan, di mana keadaan suhu permukaan yang tinggi dan keadaan udara kering akan menyebabkan kadar sejatan tinggi. Sisihan positif terbesar dari normal telah direkodkan di Stesen Meteorologi Pulau Langkawi iaitu +0.9 mm/hari manakala sisihan negatif terbesar dari normal iaitu -0.7 mm/hari di Stesen Meteorologi Labuan. Sementara itu, purata kadar sejatan harian direkodkan di Stesen Meteorologi Cameron Highlands ialah 2.33 mm/hari.

 

Rajah :

RAJAH 1   : Jumlah Hujan Bulanan

RAJAH 2a : Purata Suhu Bulanan

RAJAH 2b : Purata Suhu Maksima Bulanan

RAJAH 2c : Purata Suhu Minimum Bulanan