Laporan Pemantauan Kemarau

JULAI 2017

Pendahuluan

Malaysia masih lagi berada di dalam fasa Monsun Barat Daya dan dijangka tamat pada akhir September 2017. Monsun Barat Daya yang juga dikenali sebagai monsun musim panas hemisfera utara disifatkan sebagai satu musim di mana angin barat daya bertiup secara berterusan. Secara lazimnya, corak tiupan angin di Malaysia adalah dari barat daya dengan kelajuan yang lemah iaitu di bawah 15 knot. Sepanjang tempoh ini, keadaan atmosfera secara relatifnya akan menjadi lebih stabil di mana keadaan ini akan mengurangkan proses perolakan yang kuat. Sepanjang fasa ini, kebanyakan kawasan di negara mengalami lebih banyak hari tanpa hujan berbanding dengan hari hujan. 

 

Taburan Hujan Bulan Julai 2017

Berdasarkan kepada skim klasifikasi nilai-nilai desil dan peratusan sisihan bulanan bagi tempoh bulan Julai 2017 mencatatkan 14 buah stesen telah merekodkan peratus sisihan pada nilai purata, 11 buah stesen kurang daripada purata, 5 buah stesen sangat kurang daripada purata, 4 buah stesen melebihi purata serta 4 buah stesen sangat melebihi purata.

Kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia telah merekodkan anomali hujan yang normal. Walau bagaimanapun, beberapa kawasan telah mencatatkan anomali hujan di antara 20% sehingga 40% di atas paras purata di negeri Kelantan, Pahang dan Melaka. Selain itu, terdapat satu (1) atau dua (2) tempat di negeri Kelantan merekodkan anomali hujan melebihi 60% di atas paras purata. Bagi negeri Johor, Perak, Perlis, selatan Pahang serta utara Kedah mencatatkan anomali hujan kurang dari paras purata. Keadaan agak berbeza di Sabah & Sarawak kerana hampir kesemua bahagian telah menerima hujan terkumpul di bawah paras purata di antara 100mm hingga 250mm.

Jumlah hujan tertinggi telah direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 416.2mm. Untuk Semenanjung Malaysia, catatan hujan tertinggi direkodkan di Butterworth (305.6mm), manakala bacaan hujan terendah adalah di Kuala Pilah (56.0mm). Di negeri Sabah, hujan tertinggi dan terendah masing-masing direkodkan di Sandakan (286.6mm) dan Keningau (18.2mm). Bagi negeri Sarawak pula, hujan tertinggi direkodkan di Kuching (252.0mm) dan hujan terendah di Sibu (52.8mm).

Taburan hujan adalah hampir seragam bagi sepanjang bulan Julai 2017 di mana ianya lebih tertumpu pada minggu pertama dan kedua yang meliputi semua kawasan di Semenanjung Malaysia. Manakala bagi negeri Sabah dan Sarawak, taburan hujan yang hampir sama berlaku pada minggu kedua dan kertiga. Mersing adalah daerah yang dikenal pasti sebagai lokasi yang mencapai bilangan hari hujan tertinggi sebanyak 19 hari, berbanding Sitiawan yang mencatatkan bilangan hari hujan terendah iaitu 7 hari. Bilangan hari hujan tertinggi yang direkodkan di Sabah adalah di Sandakan sebanyak 19 hari manakala hari hujan terendah telah direkodkan di Keningau dengan 12 hari hujan. Bagi negeri Sarawak, bilangan hari hujan tertinggi adalah di Kuching (21 hari) dan terendah di Miri sebanyak 9 hari.

 

 

Anomali Jumlah Hujan Terkumpul 3 Bulan (Mei 2017 hingga Julai 2017)

Pada umumnya, sepanjang tempoh tiga (3) bulan yang lepas, kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia telah menunjukkan peratusan anomali hujan pada paras purata kecuali satu (1) atau dua (2) tempat di barat Perak serta sebahagian kecil di barat Johor mencatatkan anomali hujan 20% di bawah paras purata.

Hampir keseluruhan bahagian di Negeri Sembilan merekodkan peratusan anomali hujan sebanyak 40% hingga 60% lebih dari paras purata. Di negeri Kelantan, Pahang serta Selangor mengalami peratusan anomali hujan 20% di atas paras purata.

Bagi negeri Sarawak pula, bagi tempoh tersebut, hampir kesemua  kawasan menunjukkan peratusan anomali hujan pada paras purata kecuali satu (1) atau dua (2) tempat yang mencatat peratusan anomali hujan 20% melebihi paras purata. Tempat-tempat yang terlibat adalah di sekitar kawasan Mulu.

Keadaan agak berbeza dengan timur Sabah yang menerima taburan hujan agak tinggi dengan mencatat bacaan peratusan anomali di antara 20% hingga 60% di atas paras purata. Sebahagian kawasan turut mencatatkan peratusan anomali hujan pada paras purata. Kawasan-kawasan di sekitar Tawau, Semporna dan sebahagian kecil Kota Belud merekodkan peratusan anomali hujan 20% di bawah paras purata. 

 

Indeks SPI

Pada bulan Julai 2017 yang lalu, kebanyakan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia merekodkan indeks SPI pada paras purata kecuali beberapa bahagian di Pantai Timur yang mencatatkan indeks SPI sederhana lembap. Ini melibatkan kawasan seperti Kota Bharu, Kuala Krai dan Gong Kedak. Negeri Melaka dan sebahagian kecil kawasan di Butterworth juga menunjukkan nilai indeks SPI pada paras sederhana lembap. Terdapat satu (1) atau dua (2) kawasan di negeri Perak, Selangor dan Johor merekodkan indeks SPI yang sederhana kering. Kawasan-kawasan yang terbabit ialah Lubok Merbau, KLIA Sepang serta Senai.

Di negeri Sarawak menunjukkan bacaan indeks SPI pada paras purata di kebanyakan bahagian kecuali bahagian tengah Sarawak khususnya di Sibu yang sangat kering. Manakala terdapat beberapa kawasan di sekitarnya yang menunjukkan indeks SPI yang sederhana kering.

Negeri Sabah merekodkan bacaan indeks SPI yang normal atau pada paras purata di kesemua bahagian kecuali bahagian Kudat dan Tawau yang merekodkan indeks SPI yang sederhana kering.

 

Jadual dan peta SPI bagi 2 hingga 6 bulan terkini boleh dilihat melalui pautan di bawah:

Jadual Indek SPI

(mengikut bandar)

Peta SPI

i. 2 Bulan  ii. 3 Bulan  iii. 4 Bulan  iv. 5 Bulan  v. 6 bulan

Ramalan Jangka Sederhana

Di Semenanjung Malaysia, bagi tempoh tinjauan pada bulan Ogos dan September 2017, dijangkakan seluruh kawasan akan menerima hujan pada paras normal kecuali negeri Perlis, Pulau Pinang, Kedah, utara Perak dan utara Kelantan dijangkakan akan menerima hujan sedikit melebihi normal, manakala negeri Melaka, Negeri Sembilan serta Johor akan menerima hujan sedikit bawah normal pada bulan Ogos 2017. Bulan Oktober merupakan bulan peralihan monsun. Pada kebiasaannya, hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di negeri-negeri pantai Barat Semenanjung. Untuk tinjauan bulan Oktober 2017, negeri Melaka, Negeri Sembilan, Johor, daerah Muadzam Shah serta Rompin di Pahang dijangka akan menerima hujan sedikit melebihi normal manakala kawasan-kawasan lain dijangka akan menerima hujan pada paras normal.

Bagi negeri Sarawak pula, dijangkakan pada bulan Ogos dan September 2017, bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sibu akan menerima hujan sedikit di bawah normal manakala bahagian-bahagian lain dijangka akan menerima hujan pada paras normal. Bagi jangkaan hujan pada bulan Oktober 2017, semua bahagian dijangka akan menerima hujan pada paras normal.

Bagi negeri Sabah, untuk tinjauan pada bulan Ogos hingga Oktober 2017, dijangkakan bahagian Kudat dan Sandakan akan menerima hujan sedikit melebihi normal manakala bahagian-bahagian lain dijangka akan menerima hujan pada paras normal. 

 

                                                

Skala Kod Kemarau (mengikut kaedah FDRS)

Nilai kod kemarau (DC) adalah nilai penunjuk bagi kandungan kelembapan lapisan bahan organik yang padat dan dalam. Tanah gambut adalah antara contoh tanah organik yang padat dan dalam. DC digunakan sebagai penunjuk kepada keupayaan api untuk membara di tanah gambut yang mana ianya adalah penyebab utama kepada udara yang berasap dan berjerebu di Asia Tenggara. Ia juga boleh digunakan sebagai penunjuk kepada kepayahan untuk memadamkan kebakaran yang dalam di tanah gambut dan juga sebagai penunjuk amaran awal kepada keadaan jerebu yang serius.

Skala yang digunakan untuk mengkategorikan DC adalah seperti berikut:

 

Dikemaskini pada 14 Ogos 2017