Soalan Lazim


1. Apakah akronim atau singkatan nama bagi Jabatan Meteorologi Malaysia?

Akronim atau singkatan rasmi bagi Jabatan Meteorologi Malaysia ialah MET Malaysia.


2. Bagaimanakah cara untuk menghubungi Ibu Pejabat MET Malaysia dan Pejabat Meteorologi Negeri?

Alamat serta nombor telefon Ibu Pejabat MET Malaysia dan Pejabat-Pejabat Meteorologi di seluruh Malaysia boleh diperolehi melalui pautan Hubungi Kami di laman web rasmi MET Malaysia.


3. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan ramalan cuaca terkini yang dikeluarkan selain dari laman web rasmi MET Malaysia?

Selain daripada media cetak dan media elektronik, pengguna peranti iOS dan Android boleh memuat turun aplikasi mudah alih myCuaca bagi mendapatkan maklumat ramalan cuaca terkini. Di samping itu, laporan cuaca turut disiarkan setiap hari melalui saluran RTM sebanyak dua (2) kali sehari, iaitu semasa rancangan Selamat Pagi Malaysia pada jam 9.00 pagi dan Berita Wilayah pada jam 5.00 petang.


4. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan maklumat meteorologi bagi tujuan penerbitan awam/ maklumat bidang kewartawanan?

Bagi tujuan penerbitan awam atau maklumat berkaitan bidang kewartawanan, sila hubungi Unit Komunikasi Korporat melalui e-mel di ukk@met.gov.my.


5. Apakah prosedur permohonan untuk mendapatkan data dan maklumat meteorologi serta berapakah caj yang akan dikenakan ke atasnya?

Permohonan data dan maklumat meteorologi boleh dibuat melalui portal https://mymetdata.met.gov.my. Pengguna juga boleh merujuk kepada dokumen Jadual Akta Fi yang disediakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan kadar caj data dan perkhidmatan yang dikenakan.

1. Di manakah data-data cuaca boleh diperolehi?

Permohonan data dan maklumat meteorologi boleh dibuat melalui portal https://mymetdata.met.gov.my. Sila rujuk dokumen Jadual Akta Fi untuk maklumat berkaitan caj data yang dikenakan.

1. Bagaimanakah data-data berkaitan gempa bumi & tsunami boleh diperolehi?

Data berkaitan boleh diperolehi daripada Bahagian Teknikal Gempa bumi & Tsunami, Jabatan Meteorologi Malaysia melalui saluran berikut:

  • Maklumat berkenaan gempa bumi boleh dicapai melalui mygempa di laman web rasmi MET Malaysia https://www.met.gov.my

    (Menu: Gempa Bumi)

  • Data Aras Laut Terkini (myTide): Maklumat pemantauan paras air laut secara masa nyata (real-time) boleh diakses terus di laman web myTide.

  • Permohonan Data Rasmi boleh dikemukakan melalui laman web https://mymetdata.met.gov.my atau hadir Ibu Pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.


2. Adakah Malaysia sering mengalami gempa bumi?

Malaysia jarang mengalami gempa bumi kuat kerana negara ini berada di luar Lingkaran Api Pasifik, namun gegaran kecil masih boleh berlaku di kawasan garis sesar aktif terutama di Ranau, Sabah yang merekodkan bilangan paling tinggi berlakunya gempa bumi di Malaysia.


3. Negeri manakah di Malaysia yang paling berisiko mengalami gempa bumi?

Sabah merupakan negeri yang paling berisiko mengalami gempa bumi kerana kedudukannya berhampiran kawasan aktif tektonik di Filipina dan Indonesia.


4. Bilakah gempa bumi besar pernah berlaku di Malaysia?

Gempa bumi besar pernah berlaku di Ranau, Sabah pada tahun 2015 dengan magnitud 6.0 yang menyebabkan kerosakan dan kehilangan nyawa.


5. Bagaimanakah MET Malaysia memastikan peralatan siren tsunami beroperasi dengan baik?

MET Malaysia sentiasa memastikan peralatan sistem amaran sentiasa berada dalam keadaan siap siaga. Ujian Larian Siren (Siren Run Test) berkala yang dijalankan sebanyak empat (4) kali setahun akan diadakan di setiap lokasi. Notis pemberitahuan mengenai ujian ini akan dikeluarkan lebih awal melalui media sosial rasmi atau pengumuman tempatan sebelum ujian dilakukan.


6. Bagaimanakah MET Malaysia memantau kedatangan ombak besar tsunami?

MET Malaysia memantau ancaman tsunami melalui rangkaian Stesen Tolok Pasang Surut (Tide Gauge) yang dipasang di kawasan pesisiran pantai untuk mengesan perubahan paras air laut secara drastik. Maklumat dan data terkini mengenai paras air laut boleh didapati secara langsung melalui laman web rasmi myTide di pautan mytide.met.gov.my.


7. Bagaimanakah maklumat paras air laut daripada data-data stesen tolok pasang surut digunakan untuk orang ramai?

Maklumat paras air laut yang direkodkan dikongsi bersama Pusat Hidrografi Nasional (PHN) bagi tujuan penyediaan dan penerbitan Jadual Pasang Surut Malaysia (Malaysia Tide Tables).


8. Sejauh manakah radius bunyi siren amaran awal tsunami boleh didengari?

Siren amaran awal tsunami boleh didengari dalam radius jarak sehingga 2.5kilometer (km) dari lokasi pemasangan siren, bergantung kepada faktor arah tiupan angin dan keadaan topografi persekitaran.


9. Apakah tsunami paling dahsyat yang pernah memberi kesan kepada Malaysia?

Tsunami Lautan Hindi pada tahun 2004 memberi kesan besar kepada kawasan seperti Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis.


10. Mengapakah kawasan pantai lebih berisiko semasa tsunami?

Kawasan pantai lebih berisiko kerana ombak tsunami bergerak dari laut menuju ke daratan dan berupaya bergerak dengan kelajuan dan kekuatan yang tinggi.

1. Di manakah data-data iklim boleh diperolehi?

Data-data iklim boleh diperolehi dari Pusat Iklim Nasional, Ibu Pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.


2. Bagaimanakah cara-cara untuk memohon data-data iklim?

Permohonan data-data iklim hendaklah dimohon melalui myMETdata atau mengunjungi kaunter di Tingkat 3, Pusat Iklim Nasional, Ibu Pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.


3. Berapakah tempoh masa yang diambil untuk proses pembekalan data selepas permohonan dibuat?

Permohonan bagi kategori berbayar akan diproses dalam tempoh 3 hingga 5 hari bekerja, manakala permohonan kategori remitan / pengecualian bayaran (pelajar/agensi kerajaan) akan diproses dalam tempoh 7 hingga 10 hari bekerja. Data iklim yang dipohon akan dibekalkan dalam tempoh 1 hari bekerja selepas pembayaran diterima.


4. Apakah jenis data-data iklim yang boleh dipohon dari MetMalaysia?

Data-data iklim yang boleh dipohon adalah seperti data setiap jam, data harian, data bulanan, ringkasan data, data nilai tambah, data udara atas dan peta kilat. Manakala, parameter yang boleh dibekalkan adalah seperti data hujan, data suhu, data kelembapan bandingan, data angin, data sinaran suria, data awan, data ketampakan, data tekanan purata aras laut, data sejatan dan data udara atas.


5. Apakah cara pembayaran data iklim yang dipohon?

Kaedah pembayaran adalah seperti berikut:

i) Bayaran melalui perbankan internet (Maybank2u) dibuat secara terus tanpa nombor akaun. Cara pembayaran:

Maybank2u: >Login >Pay Bills >Payee List >e-government>Jabatan Meteorologi >isi maklumat yang diperlukan

ii) Pembayaran melalui Bank Draft atau wang pos di atas nama KETUA PENGARAH JABATAN METEOROLOGI MALAYSIA.


Bank draf atau wang pos tersebut perlu dihantar/dikurier ke alamat Jabatan seperti yang di bawah:

Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jalan Sultan, 46667, Petaling Jaya Selangor Darul Ehsan.


Data akan dibekalkan setelah maklumat bayaran diterima.


6. Bolehkah data-data iklim dipohon daripada Pejabat Meteorologi Negeri?

Data-data iklim hanya boleh dimohon melalui myMETdata, https://mymetdata.met.gov.my atau mengunjungi kaunter di Tingkat 3, Pusat Iklim Nasional, Ibu Pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.


7. Bilakah waktu urusan pembelian data melalui kaunter?

Waktu pejabat sahaja tidak termasuk cuti umum.

Isnin – Khamis :

8:00 pagi – 1:00 petang
2:00 petang – 4:00 petang

Jumaat :

8:00 pagi – 12:00 tgh hari
3:00 petang – 4:00 petang

1. Bagaimanakah cara-cara untuk memohon data-data kualiti udara?

Permohonan data-data kualiti udara boleh dilakukan melalui portal rasmi di pautan https://mymetdata.met.gov.my.


2. Apakah jenis data-data kualiti udara yang boleh dipohon dari MET Malaysia?

Data kualiti udara yang boleh dimohon adalah seperti data aerosol, kandungan kimia air hujan, kandungan kimia pemendapan kering, data ketumpatan gas, data ozon dan data sinaran utra-ungu (UVB).