Iklim Malaysia


Apa Itu Iklim?

Iklim ditakrifkan sebagai cuaca purata atau lebih terperinci sebagai keterangan statistik dalam bab purata dan kepelbagaian kuantiti yang berkaitan untuk tempoh masa bermula dari bulan ke ribuan atau jutaan tahun. Tempoh yang biasa digunapakai adalah 30 tahun, sebagaimana ditakrifkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO). Kuantiti yang biasa adalah seperti suhu permukaan, jumlah hujan dan angin. Iklim dalam ertikata luas adalah keadaan, termasuk keterangan statistik untuk sistem iklim.

Sistem iklim adalah sistem yang sangat kompleks yang terdiri daripada lima komponen utama: atmosfera, hidrosfera, cryosphere, permukaan tanah dan biosfera, dan interaksi di antara mereka. Sistem iklim berubah dengan masa di bawah pengaruh dinamik dalamannya sendiri dan akibat pendorong luaran seperti letusan gunung berapi, variasi sinaran matahari dan kegiatan manusia yang menyebabkan perubahan komposisi atmosfera dan perubahan penggunaan tanah.

Iklim Malaysia

Ciri-ciri iklim Malaysia ialah mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Angin pada amnya lemah. Malaysia yang terletak di kawasan doldrum khatulistiwa amat jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung meski pun pada musim kemarau teruk. Malaysia juga jarang sekali mempunyai satu tempoh beberapa hari dengan tidak ada langsung cahaya matahari kecuali pada musim monsun timur laut.

Walaupun angin di Malaysia pada amnya lemah dan arahnya berubah-ubah, terdapat perubahan bertempoh dalam corak tiupan angin. Berdasarkan kepada perubahan ini, empat musim boleh dibezakan iaitu monsun timur laut, monsun barat daya dan dua musim peralihan monsun yang lebih pendek.

Monsun Timur Laut

  • Bermula pada bulan November hingga Mac

  • Angin lazim dari arah timur laut

  • Kelajuan angin 10-30 knot

  • Musim yang lembab (anggaran 4-5 luruan monsoon yang boleh menyebabkan banjir)

Monsun Barat Daya

  • Bermula pada bulan Mei hingga September

  • Angin Lazim Dari Arah Barat Daya

  • Kelajuan angin kurang dari 15 knot

  • Musim Yang Relatif Kering, kecuali Sabah

Tempoh Peralihan Monsun

  • Bermula pada hujung bulan Mac hingga awal Mei dan Oktober hingga pertengahan November

  • Angin adalah lemah dari pelbagai arah

  • Palung Khatulistiwa merentangi Malaysia

  • Kerap berlaku ribut petir pada waktu petang

Dalam tempoh dari April hingga November bila mana taufan kerap kali terbentuk di barat Pasifik dan bergerak ke arah barat merentasi Filipina, angin barat daya di kawasan barat laut pantai Sabah dan kawasan Sarawak menjadi lebih kuat dan boleh mencapai 20 knot atau lebih.

Sebagai negara dikelilingi laut, kesan bayu laut dan bayu darat ke atas corak tiupan angin adalah besar terutamanya semasa hari tidak berawan. Pada keadaan petang yang terang cahaya matahari, bayu laut dengan kelajuan antara 10 dan 15 knot selalunya terjadi dan bayu ini boleh mencapai beberapa puluh kilometer ke dalam kawasan pendalaman. Dalam keadaan malam langit terang, proses sebaliknya berlaku di mana bayu darat yang lebih lemah kelajuannya boleh terjadi di kawasan pantai.

Corak tiupan angin bermusim bersama sifat topografi lokal menentukan corak taburan hujan di Malaysia. Semasa musim timur laut, kawasan yang terdedah seperti kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, kawasan Barat Sarawak dan kawasan pantai timur laut Sabah mengalami beberapa tempoh hujan lebat. Sebaliknya, kawasan pendalaman atau kawasan yang dilindungi banjaran gunung adalah secara relatifnya bebas dari pengaruh ini. Adalah lebih baik taburan hujan di Malaysia diterangkan mengikut musim.

Perubahan Hujan Bermusim di Semenanjung Malaysia

Perubahan hujan bermusim di Semenanjung Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga jenis utama:

(a) Bagi negeri-¬negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, November, Disember dan Januari merupakan bulan yang mempunyai hujan maksimum manakala Jun dan Julai merupakan bulan kering di kebanyakan negeri.

(b) Kawasan selain kawasan pantai barat daya Semenanjung Malaysia, corak hujan menunjukkan terdapatnya dua tempoh hujan maksimum dengan dipisahkan oleh dua tempoh hujan minimum. Maksimum primer biasanya berlaku pada bulan Oktober-November manakala maksimum skunder berlaku pada bulan April-Mei. Di kawasan barat laut, minimum primer berlaku pada bulan Januari--Februari manakala minimum skunder berlaku pada bulan Jun-¬Julai. Di lain-¬lain tempat, minimum primer berlaku pada bulan Jun-Julai manakala minimum skunder berlaku pada bulan Februari.

(c) Corak hujan di kawasan pantai barat daya Semenanjung Malaysia lebih dicorakkan oleh kejadian 'Sumatras' pagi pada bulan Mei dan¬ Ogos di mana corak maksima dan minima berganda tidak wujud. Oktober dan November adalah bulan yang mempunyai hujan maksimum manakala Februari adalah bulan yang mempunyai hujan minimum. Maksimum Mac-April-Mei dan minimum Jun-Julai tidak wujud atau kurang jelas.

(d) Taburan hujan bulanan purata (tahunan) bagi Semenanjung Malaysia adalah seperti berikut.

Perubahan Hujan Bermusim di Sabah dan Sarawak

Perubahan hujan bermusim di Sabah dan Sarawak boleh dibahagikan kepada lima jenis utama :

(a) Kawasan pantai Sarawak dan timur laut Sabah mengalami regim corak hujan satu maksimum dan satu minimum. Kedua-dua kawasan mengalami hujan maksimum pada bulan yang sama iaitu Januari manakala hujan minimum pada bulan yang berbeza. Di kawasan pantai Sarawak, hujan minimum berlaku pada bulan Jun atau Julai manakala kawasan timur laut pantai Sabah hujan minimum berlaku pada bulan April. Di bawah regim ini, kebanyakan hujan diterima pada bulan-bulan monsun timur laut iaitu Disember hingga Mac. Sesungguhnya, lebih dari separuh dari hujan tahunan diterima di kawasan barat Sarawak.

(b) Kawasan pendalaman Sarawak pada amnya mengalami taburan hujan tahunan yang agak sekata. Walau pun begitu, agak kurang sedikit hujan diterima semasa tempoh Jun hingga Ogos sesuai dengan kejadian angin lazim barat daya. Perlu di nyatakan di sini bahawa hujan tahunan tertinggi di Malaysia berlaku di cerun bukit kawasan pendalaman Sarawak. Longgokan menerima hujan tahunan purata melebihi 5000 mm.

(c) Kawasan barat laut pantai Sabah mengalami regim corak hujan dua maksima dan dua minima. Maksimum primer berlaku pada bulan Oktober dan maksimum skunder berlaku pada bulan Jun. Minimum primer berlaku pada bulan Februari manakala minimum skunder berlaku pada bulan Ogos. Walau pun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada dua bulan maksimum adalah kecil, namun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada minimum primer adalah jelas lebih rendah berbanding skunder minimum. Di sesetengah tempat, perbezaan mencapai setinggi empat kali ganda.

(d) Di kawasan tengah Sabah di mana keadaannya berbukit dan terlindung oleh banjaran gunung, hujan yang diterima adalah lebih rendah secara relatif berbanding dengan kawasan-¬kawasan lain serta taburannya agak sekata. Akan tetapi, dua maksima dan dua minima boleh diperhatikan. Pada amnya, dua minima berlaku pada bulan Februari dan Ogos manakala dua maksima berlaku pada bulan Mei dan Oktober.

(e) Kawasan selatan Sabah mengalami taburan hujan sekata. Jumlah hujan tahunan yang diterima boleh diperbandingkan dengan bahagian tengah Sabah. Februari hingga April adalah tempoh agak kering berbanding bulan-¬bulan lain.

(f) Taburan hujan bulanan purata (tahunan) bagi Sabah dan Sarawak adalah seperti berikut.

Sebagai sebuah negara yang dikelilingi laut dan terletak berhampiran khatulistiwa, Malaysia secara semulajadi menerima cahaya matahari yang banyak dan seterusnya sinaran matahari. Bagaimanapun adalah jarang terdapat dalam sepanjang hari tidak diliputi awan langsung walaupun ketika tempoh kemarau. Litupan awan dapat mengurangkan kandungan cahaya matahari dan seterusnya sinaran matahari. Secara purata, Malaysia menerima sebanyak 6 jam sinaran matahari sehari.

Walau bagaimana pun, terdapat perbezaan mengikut musim dan tempat jumlah cahaya matahari yang diterima. Secara purata, Alor Setar dan Kota Bharu menerima lebih kurang 7 jam cahaya matahari sehari sementara kuching menerima hanya secara purata 3.7 jam sehari dalam bulan Januari. Sementara Alor Setar secara purata menerima nilai maksima sebanyak 8.7 jam sehari pada bulan yang sama.

Sinaran matahari adalah berkaitan rapat dengan tempoh cahaya matahari. Perubahan bermusim dan bertempatnya adalah lebih kurang sama dengan cahaya matahari.

Taburan durasi sinaran matahari (tahunan) bagi Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak adalah seperti berikut.

Di antara kesemua faktor-faktor yang mempengaruhi kadar sejatan, keadaan berawan dan suhu adalah merupakan dua faktor terpenting yang saling berkait. Hari yang berawan bermakna kurangnya cahaya matahari seterusnya kurang sinaran matahari menyebabkan suhu menjadi rendah. Ujian daripada data-data sejatan menunjukkan bahawa bulan-bulan berawan atau hujan mempunyai kadar sejatan yang rendah sementara bulan kering adalah bulan yang mempunyai kadar sejatan yang tinggi. Stesen Senai , salah satu dari stesen yang letaknya di tanah rendah mempunyai purata sejatan terendah dalam sehari iaitu 2.6mm dalam bulan November, sementara Kota Kinabalu pula mempunyai purata sejatan tertinggi iaitu 6.0mm sehari dalam bulan April.

Bagi kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di mana suhu udaranya adalah rendah, kadar sejatannya juga rendah. Sementara kawasan tanah rendah mempunyai purata sejatan tahunan 4mm hingga 5mm sehari, Cameron Highlands mempunyai kadar yang hanya lebih kurang 2.5mm sehari.

Sebagai sebuah negara yang terletak di khatulistiwa, Malaysia mengalami suhu yang sekata sepanjang tahun. Perbezaan tahunan suhunya adalah kurang daripada 2°C kecuali bagi kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia yang kerap dipengaruhi oleh luruan angin sejuk dari Siberia semasa Monsun Timur Laut. Walau bagaimanapun perubahan suhu tahunannya kurang daripada 3°C.

Julat suhu harian adalah besar, 5°C hingga 10°C bagi stesen¬-stesen berhampiran pantai dan antara 8°C hingga 12°C bagi stesen-¬stesen di pedalaman tetapi suhu harian yang tinggi seperti yang terdapat di kawasan benua tropika tidak pernah dialami. Walaupun siang selalunya panas, tetapi di waktu malam ianya sejuk.

Walaupun perubahan bermusim dan bertempat suhu secara perbandingan adalah kecil, tetapi dalam beberapa hal ia dapat ditentukan. Bagi Semenanjung Malaysia, terdapat perubahan suhu yang jelas semasa monsun dan ini terdapat di kawasan pantai timur. Bulan April dan Mei adalah bulan di mana suhu purata bulanan adalah paling tinggi sementara Disember dan Januari pula adalah bulan di mana suhu purata bulanannya paling rendah.

Purata suhu harian di kebanyakan daerah di timur Banjaran Besar adalah rendah berbanding dengan daerah di barat. Perubahan-perubahan nilai ini adalah disebabkan suhu harian yang rendah yang dialami di kawasan daerah timur semasa Monsun Timur Laut hasil daripada hujan dan litupan awan yang luas. Di Kuala Terengganu, sebagai contoh semasa Monsun Timur Laut suhu pada waktu siang jarang mencapai 32°C dan kerapkali tidak mencapai 27°C. Beberapa keadaan telah direkodkan di mana suhu tidak melebihi 24°C iaitu suhu terendah di capai pada waktu malam di kebanyakan tempat. Purata suhu pada waktu malam biasanya di antara 21°C hingga 24°C. Tetapi nilai suhu di hampir semua stesen boleh menurun jauh lebih rendah daripada suhu tersebut , malam yang sejuk biasanya di ikuti dengan siang yang panas.

Purata suhu (tahunan) bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah seperti berikut.

Seperti yang diperkatakan, Malaysia mempunyai kelembapan yang tinggi. Purata kelembapan bandingan bulanannya adalah di antara 10% hingga 90%, berubah mengikut tempat dan bulan. Bagi sesuatu kawasan yang khusus, julat purata kelembapan bandingannya berubah dari minimum 3% (Bintulu) ke maksimum lebih kurang 5% (Alor Star). Di Semenanjung Malaysia, julat minimum terdapat di Sitiawan di mana purata kelembapan bandingan berubah¬ubah dari nilai serendah 80% dalam bulan Februari ke setinggi hanya 88% dalam bulan Februari. Julat maksimum pula terdapat di kawasan barat ¬laut Semenanjung (Alor Star) di mana purata kelembapan bandingan berubah-¬ubah dari 72% hingga 87% pada bulan Februari.

Adalah diperhatikan bahawa di Semenanjung Malaysia, kelembapan bandingan minimum biasanya terdapat pada bulan Januari dan Februari kecuali bagi negeri¬-negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu di mana kelembapan bandingan minimumnya adalah pada bulan Mac. Kelembapan bandingan maksimum pula lazimnya adalah pada bulan November.

Seperti dalam kes suhu, perubahan harian kelembapan bandingan adalah lebih besar berbanding dengan perubahan tahunan. Purata minimum hariannya boleh serendah 42% semasa bulan¬-bulan kering dan menghampiri setinggi 70% semasa bulan¬-bulan lembab. Bagaimanapun purata harian maksimumnya pula tidak banyak berubah dari tempat ke setempat iaitu melebihi 94%.Ia mungkin mencapai setinggi 100%. Negeri-¬negeri di barat¬ laut iaitu Kedah dan Perlis mempunyai perubahan kelembapan bandingan harian terbesar.