Gempa Bumi


Apa itu Gempa Bumi?

Gempa bumi adalah pergerakan mengejut permukaaan bumi disebabkan oleh pergerakan batuan di sepanjang garis sesar atau di atas persempadanan plat tektonik. Walau bagaimanapun, gempa bumi juga boleh disebabkan oleh aktiviti gunung berapi. Semakin besar saiz gempa bumi, semakin besar kemusnahan yang dibawa.

Keseismikan di Malaysia dan Serantau

Malaysia terletak berhampiran dengan dua sempadan pertembungan kepingan yang aktif keseismikannya iaitu sempadan pertembungan di antara Kepingan Indo-Australian dan Kepingan Eurasian di sebelah barat dan sempadan pertembungan di antara Kepingan Eurasian dan Kepingan Laut Filipina di sebelah timur. Gegaran gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di sempadan pertembungan kepingan-kepingan tersebut dapat dirasai gegarannya di Malaysia. Gegaran gempa bumi yang dirasai di pantai barat Semenanjung Malaysia adalah berpunca dari gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di Sumatera dan Laut Andaman. Semenanjung Malaysia (seperti Bukit Tinggi, Jerantut, Temenggor dan Kuala Pilah) dan Malaysia Timur juga turut mengalami gempa bumi tempatan. Gempa bumi tempatan ini disebabkan wujudnya gelinciran atau garis sesar aktif di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Beberapa potensi garis sesar aktif yang telah dikenalpasti dilihat mempunyai hubungan dengan sesetengah kewujudan gempa-gempa bumi tempatan ini. Selain dari ancaman gempa bumi tempatan, Malaysia Timur juga turut terdedah kepada ancaman gegaran akibat gempa bumi yang berlaku di Filipina Selatan dan Sulawesi Utara.

Jenis-jenis Garis Sesar

Garis sesar merupakan rekahan atau zona rekahan pada bantuan atau permukaan bumi yang telah mengalami pergeseran akibat daripada pergerakan di antara dua blok yang mempunyai arah pergerakan yang berlainan. Sesar boleh dibahagikan kepada 3 kelompok utama iaitu Sesar Normal, Sesar Songsang dan Sesar Mendaftar.

  • Sesar Normal terjadi apabila hanging wall relatif bergerak ke bawah terhadap foot wall.

  • Sesar Songsang terjadi apabila hanging wall relatif bergerak naik terhadap foot wall.

  • Sesar Mendatar terjadi apabila pergerakan di antara dua blok pada arah yang berlainan secara mendatar.

Langkah Keselamatan Gempa Bumi

a) Semasa Gempa Bumi
Sekiranya Anda Di Dalam Bangunan
  • Kekal berada di dalam bangunan. Berlindung di bawah meja, dan meja tulis atau bangku yang teguh atau tempatkan diri anda di ambang pintu atau satu sudut.

  • Jauhkan diri anda daripada tingkap, rak buku, kabinet, cermin berat, pasu bunga tergantung dan lain-lain objek berat yang boleh menggelongsor dan jatuh.

  • Capai sesuatu seperti kot, selimut, buku, akhbar, kotak kadbod dan lain-lain untuk melindungi kepala dan muka daripada objek jatuh dan serpihan kaca.

  • Jangan gunakan lilin, mancis atau lain-lain punca api kerana ada kemungkinan terdapat kebocoran gas.

  • Padamkan semua api.

Sekiranya Anda Di Dalam Bangunan Tinggi
  • Berlindung di bawah meja atau perabot yang teguh.

  • Jauhkan diri daripada tingkap.

  • Jangan tergesa-gesa keluar daripada bangunan.

  • Jangan gunakan lif kerana bekalan kuasa mungkin terputus.

  • Tinggal kekal di dalam bangunan di tingkat yang sama.

Sekiranya Anda Di Luar Bangunan
  • Pindah ke kawasan terbuka dengan berhati-hati. Jauhi diri daripada talian kuasa, tiang letrik, pokok, bangunan tinggi, dinding dan tiang lampu.

  • Berwaspada dengan serpihan binaan yang jatuh.

  • Jauhi daripada tiang letrik yang jatuh.

  • Kekal berada di kawasan terbuka sehingga gegaran berhenti

Sekiranya Anda Di Laluan Pejalan Kaki Dekat Bangunan
  • Berjalan masuk ke arah muka pintu untuk melindungi diri anda daripada batu-bata, kaca, kepingan simen dan serpihan lain yang jatuh.

Sekiranya Anda Di Dalam Kedai Yang Sesak
  • Jangan tergesa-gesa untuk keluar memandangkan kesemua orang akan berpusu-pusu keluar dan boleh mengakibatkan kemalangan.

  • Jauhkan diri daripada rak-rak yang terdapat objek-objek yang mungkin jatuh.

Sekiranya Anda Di Dalam Kereta Yang Bergerak
  • Berhentikan kereta secepat mungkin apabila telah pasti kawasan selamat. Walau bagaimanapun, jangan berhenti di bawah jambatan atau jalan raya bertingkat atau rintangan kabel atau di mana bangunan cenderung untuk runtuh.

  • Kekal berada di dalam kereta sehingga gegaran berhenti.

b) Selepas Gempa Bumi
  • Hidupkan radio atau televisyen untuk mendapatkan informasi kecemasan terkini. Jika elektrik terputus, hidupkan radio menggunakan kuasa bateri.

  • Kekal bertenang dan berwaspada dengan situasi semasa. Bersedia untuk berhadapan dengan gegaran gempa bumi kecil dikenali sebagai "gempa susulan". Walaupun gegaran susulan lebih kecil daripada gegaran utama, sesetengahnya mungkin cukup kuat untuk menyebabkan kerosakan.

  • Periksa kecederaan. Bila gegaran berhenti banyak juga kerosakan yang mungkin berlaku dan mungkin ada yang cedera. Beri bantuan kecemasan bila perlu. Walau bagaimanapun, jangan cuba gerakkan orang yang cedera parah melainkan mereka di dalam bahaya berterusan daripada kecederaan lanjutan.

  • Periksa jika terdapat kebakaran. Padamkan api dengan segera jika anda mampu.

  • Periksa kerosakan utiliti dan perkakas. Pakai kasut. Jika anda terbau gas, buka tingkap dan tutup injap utama. Jangan nyalakan mancis atau gunakan api. Gunakan lampu suluh.

  • Jangan sentuh wayar letrik yang terendam atau objek-objek yang bersentuhan dengannya.

  • Periksa almari dan kawasan rak penstoran, buka pintu-pintu dengan cermat dan waspada terhadap objek-objek yang jatuh.

  • Periksa untuk lihat sama ada saluran kumbahan sempurna sebelum mengepam tandas.

  • Cuci dengan segera tumpahan ubat-ubatan dan lain-lain bahan yang berpotensi mendatangkan bahaya.

  • Jangan makan atau minum sembarangan daripada bekas-bekas yang berdekatan dengan kaca yang telah pecah.

  • Jangan guna telefon kecuali untuk mendapatkan bantuan iaitu untuk melaporkan kecemasan (perubatan, kebakaran atau jenayah).

  • Keluar dari bangunan yang telah rosak teruk. Gegaran susulan boleh merobohkannya.

  • Bekerjasama dengan pihak keselamatan awam. Jangan masuk ke kawasan yang mengalami kerosakan kecuali jika bantuan anda diperlukan.

  • Kosongkan lorong-lorong untuk laluan kenderaan-kenderaan kecemasan.

  • Cuba menenangkan dan membantu kanak-kanak dan orang lain yang mungkin mengalami trauma psikologi akibat gempa bumi.