- Utama
- Profil Korporat
- Ramalan
- Gempa Bumi
- Pencerapan
- Iklim
- Penerbitan
- Pendidikan
- Hubungi Kami
-
Talian Hotline1-300-22-1638
Perubahan iklim merujuk kepada perubahan jangka panjang biasanya beberapa dekad atau lebih dalam corak cuaca global atau serantau atau negara yang disebabkan oleh faktor semulajadi dan/atau aktiviti manusia.
Perubahan iklim melibatkan perubahan signifikan dalam corak cuaca seperti perubahan suhu, taburan hujan, kelembapan, haba lautan, corak angin, paras laut dan luas ais laut serta kesan perubahan tersebut terhadap kehidupan di Bumi.
Perubahan iklim boleh berlaku akibat faktor semula jadi dan aktiviti manusia. Perubahan iklim yang berlaku disebabkan oleh faktor semulajadi adalah seperti:
Kitaran matahari: Variasi dalam sinaran matahari, seperti perubahan ketara dalam jumlah sinaran yang dihantar ke Bumi, boleh menyebabkan perubahan suhu global.
Letusan gunung berapi: Letusan besar menghasilkan abu dan gas seperti sulfur dioksida ke atmosfera Bumi yang boleh menghalang cahaya matahari dan menyejukkan Bumi sementara.
Perubahan suhu laut: Perubahan suhu laut dan interaksi antara lautan dan atmosfera juga boleh mempengaruhi corak cuaca dan suhu di Bumi seperti fenomena El Niño/La Niña.
Perubahan iklim yang disebabkan oleh aktiviti manusia (antropogenik) berpunca daripada aktiviti manusia yang menambah atau mengubah komposisi atmosfera yang menyebabkan pemanasan global. Perubahan iklim antropogenik cenderung memberi kesan yang lebih cepat dan lebih teruk kepada ekosistem dan manusia, berbanding perubahan iklim semulajadi yang berlaku secara perlahan dan dalam tempoh yang amat panjang. Aktiviti manusia yang menyumbang kepada perubahan iklim ini ialah:
Pembakaran bahan api fosil: Penggunaan arang batu, minyak, dan gas untuk tenaga melepaskan gas rumah kaca seperti karbon dioksida (CO2) ke atmosfera, yang meningkatkan suhu global.
Penebangan hutan: Kehilangan hutan mengurangkan jumlah pokok yang menyerap CO2, menyebabkan lebih banyak gas rumah kaca berada di atmosfera.
Pertanian dan penternakan: Pengeluaran metana (CH4) daripada lembu dan sawah padi, serta penggunaan baja kimia yang melepaskan gas nitrogen oksida (N2O), menyumbang kepada pemanasan global.
Penggunaan bahan kimia industri: Beberapa bahan kimia industri, seperti hidroklorofluorokarbon (HCFC) dan klorofluorokarbon (CFC), juga mempengaruhi perubahan iklim dengan merosakkan lapisan ozon dan meningkatkan kesan rumah kaca.
Kenaikan suhu global yang menyebabkan pemanasan Bumi.
Pencairan ais di kutub dan kenaikan paras laut, mengancam kawasan pesisir.
Cuaca ekstrem seperti banjir, kemarau, dan gelombang panas yang lebih kerap.
Kehilangan habitat dan kemusnahan biodiversiti yang mengancam ekosistem.
Gangguan pertanian dan sumber makanan akibat perubahan cuaca.
Ancaman kesihatan manusia melalui masalah pernafasan dan kesan suhu ekstrem.
Kerugian ekonomi dalam sektor pertanian dan perikanan serta kos adaptasi.
Pemantauan perubahan iklim di Malaysia melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan, penyelidik, dan masyarakat untuk memahami dan menangani kesan perubahan iklim. MET Malaysia mengumpul data jangka panjang mengenai suhu dan corak hujan untuk memantau pola perubahan iklim di Malaysia. Berdasarkan dataset tahun 1969 sehingga 2023, terdapat kenaikan suhu untuk Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan purata suhu permukaan sebanyak 0.24°C, 0.14°C dan 0.13°C bagi setiap dekad. Manakala berdasarkan dataset tahun 1951 sehingga 2023 bagi taburan hujan tahunan, terdapat sedikit kenaikan bagi jumlah hujan tahunan. Graf purata suhu dan purata hujan adalah seperti berikut: