Pejabat Meteorologi Sabah


Pengenalan

Pada tahun 1969 Ibu Pejabat Perkhidmatan Kajicuaca Malaysia telah mengambil alih tanggungjawab Pejabat Kajicuaca Cawangan Sabah dan Sarawak daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia Timur.

Pada masa kini, perkhidmatan ramalan cuaca penerbangan adalah bertempat di Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah (POCGBS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). Dahulunya POCGBS adalah dikenali sebagai Pejabat Ramalan Cuaca Kota Kinabalu (PRCKK) yang memulakan operasinya di Lapangan Terbang Lama Tanjung Aru sebelum berpindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Mei 1982. Kini POCGBS bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyediakan ramalan dan amaran cuaca bagi operasi penerbangan dan orang ramai, malahan juga turut menjadi pusat yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan maklumat gempa bumi di Sabah. Pusat ini beroperasi 24 jam dan bertanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kajicuaca yang memenuhi garis panduan dan peruntukan dalam “World Meteorological Organization (WMO)” dan “International Civil Aviation Organization (ICAO)”.

Bagi urusan pentadbiran dan kewangan serta perkhidmatan kajiklim untuk negeri Sabah, ianya dikendalikan oleh Pejabat Meteorologi Sabah yang beribupejabat di Bangunan Wisma Dang Bandang Kota Kinabalu.

Bagi memantapkan perkhidmatan cuaca di Sabah, terdapat enam (6) stesen pencerapan cuaca utama yang mana, empat (4) daripadanya adalah stesen yang terletak di kawasan lapangan terbang iaitu Pejabat Meteorologi Kudat, Tawau, Sandakan dan Stesen Meteorologi Kota Kinabalu, manakala dua (2) lagi adalah Pejabat Meteorologi Ranau dan Keningau. Stesen Udara Atas (“Upper Air Station”) di Sabah hanya terdapat di Stesen Meteorologi Kota Kinabalu dan Pejabat Meteorologi Tawau. Sabah juga mempunyai dua Stesen Radar iaitu di Stesen Meteorologi Kota Kinabalu dan Pejabat Meteorologi Sandakan.

Di samping itu juga, terdapat 65 buah stesen pencerapan curahan hujan yang ditempatkan di seluruh sabah dan dibantu untuk dikawal selia oleh pihak agensi kerajaan dan juga syarikat swasta. Selain itu, terdapat 41 sistem Automatic Weather Station (AWS) yang di tempatkan di seluruh Sabah.

Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) juga melibatkan beberapa rangkaian di Negeri Sabah. Sistem ini merangkumi 13 rangkaian stesen pengesan gempa bumi, lima (5) rangkaian tolok pasang surut, enam (6) rangkaian kamera pantai dan 17 rangkaian siren.

Fungsi
  • Membekalkan maklumat cuaca penerbangan kepada syarikat penerbangan dan lapangan terbang.

  • Mengeluarkan maklumat ramalan cuaca harian, ramalan cuaca permintaan khas serta ramalan cuaca keadaan laut dan angin.

  • Mengeluarkan tinjauan cuaca khas, maklumat dan nasihat kepada pengguna-pengguna data meteorologi daripada pelbagai sektor seperti pembinaan, pelancongan, perindustrian, pertanian, perikanan, perkapalan dan marin apabila diperlukan.

  • Mengeluarkan amaran awal akan berlakunya fenomena cuaca buruk seperti hujan monsun, hujan lebat berterusan, ribut petir, kemarau, kabut dan jerebu apabila diperlukan.

Perkhidmatan
  • Membekalkan dokumen cuaca penerbangan kepada syarikat penerbangan dan lapangan terbang.

  • Mengeluarkan ramalan cuaca harian, ramalan cuaca permintaan khas serta ramalan cuaca keadaan laut dan angin.

  • Mengeluarkan tinjauan cuaca khas, maklumat dan nasihat kepada pengguna-pengguna data meteorologi daripada pelbagai sektor seperti pembinaan, pelancongan, perindustrian, pertanian, perikanan, perkapalan dan marin apabila diperlukan.

  • Mengeluarkan amaran awal akan berlakunya fenomena cuaca buruk seperti hujan monsun, hujan lebat berterusan, ribut petir, kemarau, kabut dan jerebu apabila diperlukan.

Piagam Pelanggan

Kami, Warga Pejabat Meteorologi Sabah dengan penuh tekad dan iltizam berikrar dan berjanji akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti, profesional, beretika dan mesra kepada pelanggan. Kami menjanjikan perkhidmatan-perkhidmatan seperti berikut:

  • Semua perkhidmatan meteorologi yang diberikan mematuhi standard yang telah ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO)/ World Meteorological Organization (WMO).

  • Semua dokumen ramalan cuaca untuk penerbangan antarabangsa dan domestik disiapkan tidak lewat dari tiga (3) dan dua (2) jam sebelum penerbangan masing-masing.

  • Menyebarkan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Pusat Operasi Cuaca Dan Geofizik Nasional kepada orang awam dan agensi kerajaan dengan segera bagi mengurangkan kehilangan nyawa dan harta benda.

  • Memberi respon terhadap setiap pertanyaan dan aduan dalam masa dua (2) minggu melalui surat atau dua puluh empat (24) jam melalui telefon.

Peta Lokasi

Pegawai Dihubungi

Pengarah,
Pejabat Meteorologi Sabah,
Tingkat 7, Wisma Dang Bandang, Beg Berkunci No.54,
88995 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel: 088 - 256 054
Faks: 088 - 211 019
E-mail : pmskinabalu@met.gov.my